Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan Kali Ke-37 pada hari Khamis, 20 haribulan Syawal 1444 bersamaan dengan 11 haribulan Mei 2023 bertempat di Dewan Bankuet, Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong.
Penyampaian sijil-sijil Taraf Kerakyatan telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat majlis, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Pada kali ini, seramai 725 orang penerima Sijil Taraf Kerakyatan yang telah mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Penerima-Penerima adalah terdiri dari mereka yang memohon taraf kerakyatan Negara Brunei Darussalam di bawah Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15 iaitu di bawah Bab 5(1) Ujian Bahasa Melayu secara bertulis, Bab 6(1) iaitu terdiri daripada anak kepada Ibu Warganegara Brunei, anak kepada ayah warganegara Brunei dan anak-anak angkat kepada ibubapa angkat warganegara Brunei dan juga di bawah Bab 5(6) terdiri daripada isteri-isteri kepada suami warganegara Brunei Darussalam.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Pegawai-Pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.