Sign In
Web Creator

MAJLIS KHATAM AL-QURAN SEMPENA SAMBUTAN MEMPERINGATI HARI ULANG TAHUN PENUKARAN NAMA BANDAR BRUNEI KEPADA BANDAR SERI BEGAWAN KALI KE-52 BAGI TAHUN 2022

IMG_0313.JPG

​Majlis Khatam Al-Quran Sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Kepada Bandar Seri Begawan Kali Ke-52 Bagi Tahun 2022 telah diadakan pada hari Khamis, 29 haribulan, Rabiulakhir 1444 bersamaan dengan 24 haribulan, November 2022 bertempat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. 

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Bacaan Khatam di majlis tersebut dipimpin oleh Yang Mulia Mohd Hasnal bin Haji Mohammad, Imam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Sementara bacaan Takhtim dan Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh, Pegawai Hal Ehwal Masjid. 

Seramai 612 orang telah hadir mewakili peserta yang terlibat dalam pembacaan 52 kali khatam Al-Quran yang terdiri daripada Pegawai dan Kakitangan Jabatan-Jabatan Kerajaan, Penuntut-Penuntut Institusi-Institusi Pengajian Tinggi, pihak swasta, perkumpulan dan orang perseorangan. 

Majlis ini merupakan aktiviti tahunan yang diungkayahkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan yang berbentuk keagamaan yang diharap akan dapat menambah nilai kepada Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Ke-52 pada tahun ini. Inisiatif ini adalah juga bagi memperkembangkan lagi usaha berterusan untuk memperkukuhkan Agama Islam kepada Bandar Seri Begawan dengan imej yang baik dan indah, lebih-lebih lagi sesuai dengan sifatnya selaku Bandar Negara Melayu Islam Beraja atau Bandar Negara Zikir. 

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di dalamnya serta Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung dalam kawasan Bandar Seri Begawan.​​


Created at 26/11/2022 12:35 PTG by Syamsul Fikri Bin Hj Takong
Last modified at 12/12/2022 8:34 PG by Nurul Hafizahwati binti Haji Hamidi
Berita Terkini