Sign In
Web Creator

27TH ASEAN LABOUR MINISTERS MEETING [27TH ALMM] DAN 12TH ASEAN PLUS THREE LABOUR MINISTERS MEETING [12TH ALMM+3]

WhatsApp Image 2022-10-31 at 8.09.41 AM.jpeg

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah menghadiri 27th ASEAN Labour Ministers Meeting (27th ALMM) dan 12th ASEAN Plus Three Labour Ministers Meeting (12th ALMM+3) yang berlangsung pada 28hb., dan 29hb., Oktober 2022 bertempat di Bonifacio Global City, Metro Manila, Filipina.

Mesyuarat 27th ALMM dan 12th ALMM+3 telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Bienvenido E. Laguesma, Setiausaha Buruh dan Pekerjaan, Republik Filipina. Tema mesyuarat kali ini adalah “Together as One: Reshaping the World of Work in the ASEAN Community through Digitalized, Inclusive and Sustainable Recovery and Growth", dimana tema adalah memfokuskan kepada tiga keutamaan iaitu menggalakkan penggunaan ICT dan Digitalisasi; Memodenkan pertanian untuk keselamatan makanan dan pertumbuhan pekerjaan; dan Pembangunan sumber manusia yang cekap dan inklusif. Tema ini juga mengenalpasti bahawa gangguan dan kesan perubahan iklim, revolusi perindustrian ke-empat dan kelima, pandemik COVID-19, dan kekurangan bekalan makanan dan tenaga telah menjejaskan pemulihan dan pembangunan ekonomi. 

Semasa mesyuarat 27th ALMM, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah menekankan mengenai kepentingan usaha secara kolektif dalam menangani cabaran penguatkuasaan buruh, mengatasi amalan yang salah dalam pengambilan pekerja, dan pemerdagangan orang khususnya dalam usaha kembali dari pasca pandemik. Initiatif ASEAN Labour Inspection Commitee (ALICOM) telah mencerminkan kepentingan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan pemeriksa buruh dan perkongsian strategik, yang mana Negara Brunei Darussalam telah menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ALICOM yang pertama pada 15hb., Disember 2021.  

Pada Mesyuarat 27th ALMM dan 12th ALMM+3, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri juga menjelaskan dan berkongsi pandangan berkaitan dengan tema mesyuarat pada kali ini yang mana antaralainnya telah menyatakan bahawa tidak diragukan lagi pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang sangat ketara kepada masyarakat global ditambah lagi kesan kepada ekonomi, namun begitu tumpuan haruslah diberikan untuk membangunkan semula dengan norma baharu  yang mana ianya dapatlah dilihat sebagai peluang khususnya bagi ASEAN untuk mempertimbangkan hala tuju ke arah pendigitalan, pertumbuhan inklusif dan mampan dalam dunia pekerjaan serantau. Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengongsikan usaha-usaha Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama pelbagai agensi untuk menyediakan inisiatif dan perkhidmatan latihan termasuk dalam sektor pelancongan dan makanan dan minuman di samping menekankan pekerjaan dan pembinaan kapasiti tempatan termasuk dalam bidang Teknologi Maklumat dengan tumpuan terhadap kemahiran Revolusi Industri ke-4. Pemulihan dan pembangunan ekonomi akan melibatkan bukan sahaja tenaga kerja tempatan, malahan juga tenaga kerja asing, dengan memberikan akses yang sama kepada wanita, belia, dan golongan kurang bernasib baik yang mana memerlukan kesediaan digital dalam menyesuaikan diri dan menerima realiti norma baharu disebabkan persekitaran yang berubah-ubah. Untuk membina komuniti serantau yang lebih bersedia, inklusif dan mampan, faktor penting yang perlu diambil kira ialah ketersediaan tenaga kerja, pembangunan sumber manusia yang cekap dan inklusif, serta ketersediaan sumber asli. Melalui kerjasama dalam perkongsian strategik dan kejayaan badan sektoral ianya akan menyumbang dalam menangani cabaran serta memberikan impak yang besar kepada pembangunan serantau bagi jangka masa panjang yang mampan dan inklusif melalui paradigma baharu tenaga kerja manusia dan bantuan digital. 

Mesyuarat 27th ALMM telah mengesahkan ASEAN Declaration on Portability of Social Security Benefits for Migrant Workers in ASEAN untuk diadaptasi pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-40 dan ASEAN Summits ke-41. Melalui deklarasi ini ianya akan dapat memperlihatkan komitmen Negara-Negara Anggota ASEAN terhadap peralihan faedah keselamatan sosial yang lancar dan adil yang layak diterima oleh pekerja asing dari negara tempat bekerja ke negara asal mereka. Selain itu mesyuarat juga telah mengadaptasi ASEAN Guidelines on HIV Counselling and Testing in the Workplace, yang mana ianya bertujuan untuk menggalakkan penglibatan komuniti perniagaan dalam membangunkan dan melaksanakan dasar dan program untuk memastikan perlindungan hak pekerja dan seterusnya mewujudkan tempat kerja yang produktif, selamat dan inklusif. 27th ALMM juga telah mengesahkan secara rasmi penubuhan ALICOM pada Tahun 2021 dan mengadaptasi Rancangan Kerja ALICOM 2022-2030. ALICOM bertujuan untuk mengukuhkan keberkesanan pemeriksaan buruh melalui inisiatif pelbagai hala dan kerjasama antara pemeriksa buruh Negara-Negara Anggota ASEAN. 

Dalam pada itu, Mesyuarat 27th ALMM juga antaralainnya telah mengongsikan pencapaian yang telah dicapai dalam tempoh dua tahun yang lalu dalam melaksanakan beberapa pelan kerja panduan yang berkaitan, termasuk ASEAN Labour Ministers' (ALM') Work Programme 2021-2025, Action Plan 2018-2025 of the ASEAN Consensus on Protection and Promotion of the Rights of Migrant Workers, Senior Labour Officials Meetings (SLOM's) Working Group on Progressive Labour Practices to Enhance the Competitiveness of ASEAN (SLOM-WG) Work Plan 2021-2025, dan ASEAN Occupational Safety and Health Network (ASEAN-OSHNET) Work Plan 2021-2025

Manakala semasa 12th ALMM+3, Menteri-Menteri Buruh ASEAN bersama rakan dialog dari Negara China, Jepun dan Republik Korea telah menekankan kepentingan kolektif ASEAN+3 dalam kerjasama buruh ke arah matlamat jangka panjang membina komuniti asia-Timur yang berdaya tahan. Menteri-Menteri Buruh ASEAN telah mengambil kira kemajuan yang dicapai dalam SLOM+3 Work Plan 2021-2025 dan telah mengesahkan komitmen untuk terus menggalakkan pembangunan sumber manusia, pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan sebagai tindak balas kepada integrasi ekonomi ASEAN, dialog sosial, serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja sebagai menyokong Wawasan Komuniti ASEAN 2025 serta pembangunan Wawasan Komuniti Pasca 2025. 

Sebelum mesyuarat 27th ALMM dan 12th ALMM+3, pegawai-Pegawai kanan negara-negara anggota ASEAN telah menghadiri mesyuarat 18th SLOM dan 20th SLOM+3 pada 25hb., dan 26hb., Oktober 2022. Semasa mesyuarat ini, wakil SLOM telah membincangkan kemajuan kerja serta pencapaian tahun lepas bagi badan-badan utama buruh teknikal ASEAN seperti berikut:

  • Badan teknikal SLOM-WG, melalui pelan kerjanya, menyokong pengadaptasian fleksibiliti buruh progresif dalam pasaran buruh serantau untuk pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan. SLOM-WG memfokuskan usahanya dalam bidang tema yang termasuk sistem maklumat pasaran buruh, pembangunan kemahiran, pengiktirafan kemahiran, promosi pekerjaan yang inklusif, pemeriksaan buruh, perlindungan sosial untuk pekerja, produktiviti pekerja dalam pekerjaan yang tidak formal, peningkatan kapasiti dalam tripartism dan pertikaian buruh dan keadilan buruh;

 
  • Badan teknikal ASEAN Declaration on the Protection and Promotion of the Rights of Migrant Workers (ACMW) memfokuskan pada perlindungan dan promosi hak pekerja asing di rantau ini. Objektif utama ACMW termasuk memastikan komitmen yang dibuat di bawah Deklarasi Cebu dilaksanakan dengan berkesan dan merealisasikan Konsensus ASEAN mengenai Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran; 
  • ASEAN Occupational Safety and Health Network (ASEAN-OSHNET) bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dalam meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di tempat kerja di rantau ASEAN. Ianya berfungsi juga sebagai satu platform untuk bertukar pengalaman dan maklumat dalam bidang piawaian OSH, latihan, penyelidikan, pemeriksaan OSH dan rangka kerja kebangsaan, dan pencegahan dan kawalan HIV di tempat kerja. 
Hasil perbincangan antara Menteri-Menteri Buruh ASEAN termasuk dengan pegawai kanan dari negara China, Jepun dan Republik Korea telah disatukan di dalam komunike Bersama ALMM ke-27 dan Kenyataan Bersama ALMM+3 ke-12. Mesyuarat SLOM yang Ke-19 dan SLOM+3 yang Ke-21 akan diadakan di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2023. 

 
Turut hadir semasa Mesyuarat tersebut, YM Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan),  dan YM Muhd Saufi bin Haji Ibrahim, Pesuruhjaya Buruh serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Jabatan Buruh.

 
Created at 31/10/2022 11:20 PG by Syamsul Fikri Bin Hj Takong
Last modified at 12/11/2022 3:49 PTG by Nusratina Binti Hj Md Daud
Berita Terkini