Sign In
Web Creator

YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI MENGHADIRI 10TH ASEAN MINISTERIAL MEETING ON DISASTER MANAGEMENT (AMMDM) AND 11TH CONFERENCE OF THE PARTIES TO THE ASEAN AGREEMENT ON DISASTER MANAGEMENT AND EMERGENCY RESPONSE (COP TO AADMER)

04.jpeg

BANGKOK, THAILAND, 20hb., OKTOBER, 2022 - Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah menghadiri 10th ASEAN Ministerial Meeting on Disaster Management (AMMDM) dan 11th Conference of the Parties to the ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (COP to AADMER) yang berlangsung di Bangkok, Thailand. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh His Excellency, General Anupong Paojinda, Minister of Interior, Kerajaan Thailand.

Mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana membawa tema “Stronger Together in Balancing Action to Enhance Localisation for Disaster Resilience" antaralain membincangkan untuk memperkukuhkan lagi tindak balas ASEAN secara bersama terhadap sebarang bencana serta menilai pelaksanaan ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) ke arah merealisasikan hasrat untuk membangun masyarakat yang selamat dan berdaya tahan mengharungi bencana.

Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah menekankan kepentingan peningkatan kerjasama serantau dengan rakan kongsi yang membawa penyelesaian inovatif khususnya dalam bidang pengurusan bencana bagi menangani cabaran yang dihadapi pada masa ini dan yang akan datang sejajar dengan tema sambutan ASEAN Day of Disaster Management iaitu “Stronger Together in Balancing Action to Enhance Localisation for Disaster Resilience". 

Disamping itu, Yang Berhormat juga berkongsi beberapa inisiatif yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) yang mana program seperti Program Kesedaran Awam Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Masyarakat (atau Community Based Disaster Risk Management) bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan para penduduk mukim dan kampung agar sentiasa peka akan risiko bencana serta persiapannya dalam menghadapi sebarang kejadian bencana dengan mengambil tindakan yang betul dan selamat. Selain itu, pihak NDMC juga giat mengadakan Program Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Sekolah (SBDRM) untuk meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan para pelajar dan pihak sekolah dalam mengenal risiko untuk membuat tindakan yang betul dan selamat dalam menghadapi sebarang kejadian bencana dan cabaran yang berkemungkinan berlaku. Tujuan Program SBDRM ini adalah untuk mencapai hasrat ke arah membina golongan belia yang berdaya tahan dan sentiasa bersedia untuk di masa akan datang. 

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa dengan menganjurkan program-program tersebut, ianya dapat membantu Brunei Darussalam dalam membina masyarakat yang berdaya tahan dalam menghadapi bencana. Dengan pengetahuan dan pengalaman sebagai panduan bagi mengurangkan impak bencana terhadap kehidupan seharian masyarakat.      

Di samping itu, persidangan AMMDM ini turut mengongsikan perkembangan laporan di peringkat serantau daripada ASEAN Committee Disaster Management yang membentangkan penglibatan ASEAN dalam mengetuai kepimpinan antarabangsa yang berkaitan dengan pengurusan bencana pada tahun ini seperti 7th Session of the Global Platform for Disaster Risk Reduction (GPDRR), di Bali, Indonesia dan Asia-Pacific Ministerial Conference on Disaster Risk Reduction (APMCDRR) di Brisbane, Australia. Penyertaan ASEAN ini adalah selaras dengan hasrat Wawasan ASEAN 2025 mengenai Pengurusan Bencana iaitu untuk menjadi peneraju global dalam pengurusan bencana menjelang 2025.  

Pada masa yang sama, beberapa mesyuarat berasingan juga diadakan bersama rakan dialog antara ASEAN seperti mesyuarat AMMDM Plus China ke-2, AMMDM Plus Japan ke-2 dan AMMDM Plus Republic of Korea yang pertama pada mana bertujuan untuk meningkatkan dialog strategik dalam kerjasama bersama untuk mencapai pengurangan risiko bencana di peringkat serantau.  

Turut hadir semasa Mesyuarat tersebut, Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), YM Dayang Nor Hamidah Binti Hj Hamidon dan Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, YM Col. (B) Md Harrith Rashidi Bin Hj Md Jamin serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Created at 25/10/2022 11:33 PG by Syamsul Fikri Bin Hj Takong
Last modified at 12/11/2022 3:48 PTG by Nusratina Binti Hj Md Daud
Berita Terkini