Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

MUKADIMAH YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI SEMASA PERBINCANGAN ANGGARAN PERUNTUKAN KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI BAI TAHUN KEWANGAN 2022 HINGGA 2023

​.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الْمُرْسَلِينَ،

وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَمَنِ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ

إِلَى يَوْمِ الدِّينِ

Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Kaola lebih dahulu sukacita mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pengerusi kerana memberi peluang bagi kaola menyampaikan mukadimah bagi memandu perbincangan Anggaran Peruntukkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi Tahun Kewangan 2022 / 2023.
     
  2. Alhamdulillah, kaola dengan penuh hormat dan takzim sukacita terlebih dahulu menyembahkan setinggi – tinggi menjunjung kasih di atas kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperuntukkan anggaran perbelanjaan sejumlah $128,343,070 bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi Tahun Kewangan 2022/2023.
     
  3. Selaras dengan tema belanjawan iaitu Memperkasa Kesejahteraan Awam Ke Arah Sosio-Ekonomi Yang Lebih Resilien, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya, insha Allah dengan sumber yang diperuntukkan akan terus menumpukan apa jua rancangan dan perlaksanaan inisiatif-inisiatif yang selaras dengan tema tersebut.
     
    Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  4. Dalam keadaan Negara dan Dunia masih behadapan dengan Covid-19, ia mengharuskan Kementerian untuk membuat perubahan dari segi inisiatif, dasar, akta dan perundangan termasuklah pendekatan secara konsisten dan berterusan pengunaan teknologi maklumat dalam pengurusan Kementerian dan Jabatan-Jabatan dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai pada mendokong aspirasi negara iaitu 'Smart Nation' dan revolusi industri 4.0. Perubahan-perubahan yang dilaksanakan adalah bertepatan bagi mengharungi cabaran-cabaran daripada pandemik covid-19.
     
  5. Berdasarkan tema dan fokus utama Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2021 / 2022, inisiatif-inisiatif Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri adalah seperti berikut;
     
    1. Bagi memelihara Keselamatan dan Kesejahteraan awam, Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan berterusan meningkatkan tahap perkhidmatan kepada orang ramai dalam berbagai perkhidmatan. Jabatan Imigersen dan Pendafataran Kebangsaan adalah dalam fasa terakhir pelaksanaan Sistem INRS (Immigration and National Registration System) yang bertujuan mengumpul dan mengintegrasi maklumat peribadi individu secara komprehensif termasuk data biometrik. Ini juga akan membolehkan perkongsian sumber data maklumat diantara agensi-agensi Kerajaan yang berkepentingan. Dalam hubungan itu, InshaAllah, Sistem Pengawalan Sempadan atau Border Control System (BCS) dibawah sistem Immigration and National Registration (INRS) akan mula digunakan  pada bulan April 2022 ini.
       
    2. Ianya akan mula diguna pakai di Lapangan Terbang Antarabangsa yang mana bertujuan untuk memeriksa setiap pelawat yang masuk dan keluar dari Negara ini dengan menggunakan sistem Biometrik iaitu dengan membuat pengesanan cap jari dan gambar wajah (facial recognition). Melalui kaedah ini jua, ianya akan dapat membantu mengesan rekod demographic pelawat serta mengesan pelawat yang tidak dikehendaki di Negara ini dengan lebih berkesan. Sistem Pengawalan Sempadan ini nanti akan dilaratkan kepada semua pos-pos kawalan secara berfasa.
       
    3. Disamping itu, Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan akan terus meneliti dan menyelaras prosedur dan peraturan dari semasa ke semasa. Ini termasuklah pengemaskinian dan penguatkuasaan Perintah Pekerjaan 2009 dan Akta/Peraturan-peratuan Imigresen melalui tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan secara berterusan dan konsisten secara bersendirian mahupun sepadu dengan agensi-agensi berkenaan serta bantuan orang ramai dan pemimpin akar umbi. Dengan ini, ianya akan dapat memastikan kawalan dari segi kemasukkan warga asing / pekerja asing dan juga pada menjaga kesejahteraan terhadap pekerja-pekerja sentiasa dipelihara dan dilindungi dan seterusnya mengambil tindakan ke atas pesalah-pesalah yang melanggar undang-undang perburuhan dan imigresen.
       
    4. Jabatan Bomba dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) pula berperanan ke arah mengwujudkan masyarakat yang sentiasa siap siaga atau emergency dan disaster ready. Ke arah itu, langkah-langkah bagi meningkatkan kapasiti iaitu dari segi logistik dan pembangunan kompetensi masyarakat melalui perbekalan keperluan logistik dan program-program pembangunan kompetensi masyarakat adalah dilaksanakan secara berterusan agar mencapai objektif bagi memupuk budaya siapsiaga dan menjadikan masyarakat yang berdaya tahan.
       
    5.  Program yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat telah melahirkan seramai 48 orang warga masyarakat berjasa pada tahun 2021. Sehingga ini terbukti, kampong-kampong yang mempunyai sukarelawan Bomba yang terlatih telah dapat membantu memadamkan kebakaran kecil sebelum pasukan bomba datang ke tempat kejadian.
       
    6. Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah mula melaksanakan denda kompaun bagi jenis-jenis kesalahan dibawah Perintah Kesalahan Kebakaran 2016 dikenali sebagai Fire Safety Order 2016 (FSO 2016) sejak bulan Ogos 2021. Ianya diharap akan memastikan pencegahan dan pengurangan risiko berlakunya sebarang insiden kebakaran dan juga memastikan pemilik dan penyewa premis terutama sekali sektor perniagaan mematuhi peraturan keselamatan kebakaran (fire safety). Pada tahun 2021, sebanyak 142 kebakaran dicatatkan termasuk 58 buah rumah dengan jumlah kerugian sebanyak $973 ribu.  Walaubagaimanapun dari jumlah ini hanya 2.9% rumah-rumah ini sahaja yang mempuyai perlindungan insurans.
       
    7. Dalam kita menghadapi ancaman pandemik Covid-19, kita juga menghadapi cabaran dari perubahan iklim.  Kita telah mengalami beberapa jenis bencana, iaitu banjir, tanah susur, pokok tumbang dan angin kencang. Berdasarkan kejadian ini dan pengalaman menghadapi berbagai kejadian bencana alam ini, kita perlu meningkatkan sikap siap siaga dan waspada pada setiap masa. Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan telah membuat penelitian dan pengemaskinian semula terhadap deraf Rangka Kerja Dasar Strategik Pengurusan Bencana atau Disaster Management Strategic Policy Framework (DMSPF) dan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.
       
    8. Program-program keutamaan di dalam dasar ini dibentuk untuk mempromosikan keselamatan, kedayatahanan dan kemakmuran ekonomi dan alam sekitar melalui pendekatan 'whole-of-nation" dalam melindungi kesejahteraan masyarakat melalui tujuh program keutamaan yang mengandungi objektif-objektif selaras dengan sasaran Wawasan 2035.
       
      Yang Berhormat Pehin Pengerusi,
      6. Dalam usaha Kementerian ini bagi memantapkan perpaduan masyarakat Jabatan-Jabatan Daerah secara berterusan melaksanakan tindakan-tindakan bersesuaian bagi mengukuhkan Insitusi Mukim dan Kampong. Usaha-usaha ini termasuklah;
       
      a.  Pertama, projek Rezoning Mukim dan Kampong. Projek ini telahpun dilaksanakan bagi kawasan-kawasan di Kampong Ayer dan juga bagi mukim dan kampong di kawasan darat secara berperingkat-peringkat. Sebahagian besar jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampong yang terlibat dalam projek re-zoning adalah dalam proses pengisian jawatan penghulu mukim dan ketua kampong tersebut. Manakala bagi kawasan yang masih memerlukan perubahan sempadan, perkara ini adalah dalam proses penyelarasan bersama agensi yang berkepentingan. Sesuai dengan tujuan projek re-zoning ini, maka ianya akan dapat membantu Penghulu Mukim dan Ketua Kampong meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran mukim-mukim dan kampong-kampong dengan jumlah penduduk yang bersesuaian.
       
      b.  Kedudukan Negara yang berhadapan dengan Covid-19 sehingga masa ini, telah menjejaskan sedikit rancangan pengisian jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampong. Dari itu, aplikasi E-Undi yang telah dilancarkan pada 2hb Oktober 2021 bertujuan sebagai tambahan bagi kaedah-kaedah pengundian yang sedia ada yang boleh membantu proses pengundian dan pemilihan calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong berjalan lancar.
       
      c.   Alhamdulillah, dengan adanya aplikasi ini disamping memudahkan cara mengundi secara 'online', aplikasi ini juga menyediakan maklumat dan keterangan serta manifesto calon-calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong yang setentunya memudahkan penduduk Mukim dan Kampong mengenali calon pemimpin masing-masing. Aplikasi yang mula dilaksanakan pada bulan Disember 2021 ini, jelas memberi impak positif yang ketara iaitu dengan meningkatnya jumlah penyertaan pengundi dari kalangan belia yang mengundi menerusi sistem E-Undi iaitu dari 30% belia mengundi menggunakan kertas undi (ballot paper) kepada 54% dengan E-Undi. Kita percaya bilangan ini akan meningkat dari masa ke semasa.
       
      d.  Berasaskan data yang ada, kita juga bersyukur bahawa dari seramai calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong yang telah di pilih, calon-calon yang telah diperakukan untuk pemilihan dan calon-calon dalam proses untuk diperakukan, terdapat seramai 53 atau 73% adalah mereka yang berumur di bawah 50 tahun. Dari segi kelayakan akademik pula, seramai 38 orang adalah graduan dari Institusi Pengajian Tinggi. Dengan adanya peningkatan profil calun-calun ini, diharap Penghulu Mukim dan Ketua Kampung berkenaan akan dapat menerajui kepimpinan sesebuah mukim atau kampung dengan lebih berwibawa dan berusaha untuk memajukan sosio-ekonomi mukim dan kampung di samping berusaha untuk memupok dan mengujudkan masyarakat yang hidup bersatu padu dan memeduli hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan anak buah mukim dan kampung.
       
      Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
      7. Didalam usaha Kementerian bagi memangkin sosio-ekonomi, Lembaga Bandaran dan Jabatan-Jabatan Daerah terus berusaha bagi;
      a.    Meneroka rancangan-rancangan yang boleh membantu dan memberikan peluang kepada peniaga-peniaga micro, kecil dan sederhana mendapatkan mata pencarian melalui aktiviti perniagaan. Disamping melaksanakan rancangan menyediakan tempat-tempat berniaga yang sudah dikeluarkan Request For Proposal (RFP) beberapa tempat lain juga sudah dikenalpasti untuk dimajukan.
       
      b.    Sektor perekonomian di peringkat Mukim dan Kampong pula agak terkesan sejak penularan Covid-19. Ianya dapat dilihat dari menurunnya pendapatan Satu Kampong Satu Produk (1K1P) dari $802,260 pada tahun 2019 kepada $710,172 pada tahun 2020 dan $556,842 pada tahun 2021. Namun pendapatan purata 19 orang pengusaha yang terlibat dalam projek transformasi 1K1P dalam tahun 2021 telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka sebanyak dan melebihi 106% sehingga ada yang memperolehi pendapatan sebanyak $5,000 ke $7,000 sebulan. Kita bersyukur dan berbangga kerana sebahagian dari mereka telah membuat pendekatan berani dan dengan bijak menukar cabaran-cabaran Covid-19 kepada peluang. Dari itu, kita secara konsisten akan mengorak langkah bersama rakan-rakan strategik bagi meningkatkan lagi kemajuan produk-produk kampong dengan harapan bagi menembusi pasaran serantau. Insha Allah.

       
      c.    Selain daripada menyediakan prasarana bagi memangkin sosio-ekonomi, Kementerian ini juga akan memberikan fokus kepada tunggakan cukai bangunan yang tinggi dan meningkat dari tahun ke setahun. Kementerian ini akan melaksanakan tindakan yang lebih berkesan dalam mengurangkan dan mengelakkan tunggakan. Di samping meneruskan inisiatif-inisiatif yang sudah dilaksanakan sebelum ini, Kementerian ini akan berusaha meningkatkan dan memperkesankan lagi tindakan bagi membuat tuntutan melalui prosedur mahkamah. Kementerian ini juga di dalam perbincangan dengan agensi-agensi Kerajaan yang lain untuk mempersyaratkan bagi pembayaran cukai bangunan dilunaskan terlebih dahulu sebelum beberapa jenis permohonan diluluskan. Di dalam pada itu, Kementerian ini juga sedang dalam peringkat perlaksanaan Projek Municipal Property Database (EP-TAX) di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke 11 iaitu bagi mengadakan satu sistem database bagi maklumat hartanah-hartanah di kawasan perbandaran dan seterusnya membolehkan pemilik-pemilik hartanah membayar cukai bangunan secara online melalui sistem berkenaan.
       
      8.    Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, berdasarkan peruntukan dan inisiatif-inisiatif yang telah pun dibentangkan, dan mengambil kira suasana persekitaran yang sentiasa berubah selaras dengan kehendak dan keperluan semasa maka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya, akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan yang tinggi dan menjana ekonomi yang maju serta berdayatahan dan dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang dan seterusnya merealisasikan matlamat negara khususnya dalam menjayakan Wawasan 2035.


      Sekianlah sahaja Yang Berhormat Pehin Pengerusi.

      Wabilahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Created at 01/03/2022 11:06 by Syamsul Fikri Bin Hj Takong
Last modified at 01/03/2022 11:06 by Syamsul Fikri Bin Hj Takong