Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

SESI MUZAKARAH KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI BERSAMA YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA

IMG_6567 (2).JPG

1. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya telah mengadakan Sesi Muzakarah bersama 17 orang Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

2. Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri hari ini telah mempengerusikan sesi muzakarah tersebut.

3. Sesi muzakarah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dibacakan oleh Yang Mulia Awang Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara dan seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Sesi Muzakarah tersebut. Ucapan balas disampaikan oleh Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arsad, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku ketua rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

4. Yang Berhormat Pehin di dalam ucapan alu-aluan mengongsikan dari segi pengawalan pekerja asing, Jabatan Buruh dan Jabatan Imigeresen dan Pendaftaran Kebangsaan terus menerus meneliti dan menyelaraskan prosedur-prosedur dan peraturan-peraturan mengenainya dari semasa ke semasa. Pada masa ini, jumlah tenaga pekerja asing telah menurun; di mana pada tahun 2021, terdapat seramai 56,216 pekerja asing berbanding dengan 72,713 orang dalam tahun 2019. Kedua-dua buah jabatan juga dari segi penguatkuasaan undang-undang secara berterusan dan bersepadu menjalankan operasi bagi memantau keberadaan pekerja asing dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang. Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan telah mengambil tindakan tegas memulangkan pekerja asing yang sabit melanggar undang-undang balik ke negara asal mereka. Dari tahun 2019 hingga 2021, seramai 1637 pekerja asing dari Bangladesh, India, Pakistan dan Indonesia telah di ambil tindakan dan dipulangkan.  

5. Yang Berhormat Pehin juga mengongsikan mengenai aplikasi E-Undi yang telah pun dibangunkan dan dilancarkan pada 02hb Oktober 2021 dan telah mula digunakan di dalam majlis pengundian dan pemilihan calon Ketua Kampong Kapok pada 12 Disember 2021. Dengan adanya aplikasi ini, di samping memudahkan cara mengundi secara 'online', aplikasi ini juga menyediakan maklumat dan keterangan serta manifesto calon-calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong yang setentunya memudahkan penduduk Mukim dan Kampong mengenali calon pemimpin masing-masing. Aplikasi ini, jelas memberi impak positif yang ketara iaitu dengan meningkatnya jumlah penyertaan pengundi dari kalangan belia yang mengundi menerusi sistem E-Undi iaitu dari 30% belia mengundi menggunakan kertas undi (ballot paper) kepada 54% dengan E-Undi. 

6. Sesi muzakarah ini adalah dihasratkan untuk dijadikan satu platform untuk berkongsi cadangan-cadangan dan pandangan serta buah fikiran yang bermanfaat demi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ke arah kesejahteraan orang awam.

7. Sebelum sesi muzakarah diadakan, Yang Berhormat Ahl-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga berkesempatan menyaksikan pameran yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya. Badan-badan bukan kerajaan (NGOs) iaitu Sejahtera Community, Care & Action For Strays, Love Paw Sanctuary dan Paws Up juga menyertai pameran tersebut untuk mengongsikan peranan mereka dalam membantu pihak kerajaan dan masyarakat dalam menangani isu-isu haiwan terbiar  dan seterusnya mengongsikan inisiaitif untuk melindungi haiwan terbiar.

8. Hadir di sesi muzakarah tersebut ialah Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang), Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Ketua-Ketua Jabatan dan pegawai-pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

 

-TAMAT-

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri

Negara Brunei Darussalam

18 Rejab 1443H | 19 Februari 2022M

Ucapan Alu-Aluan Yang Berhormat Menteri HEDN Muzakarah MMN 2022.pdf

IMG_6573.JPG  IMG_6540.JPG  IMG_6559.JPG


Created at 21/02/2022 11:36 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 21/02/2022 11:36 by Kartini Binti Yakub