Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

PEMBERIAN PENGURANGAN CUKAI BANGUNAN SEMASA (TAX RELIEF) BAGI TAHUN 2021


1. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan ini sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telahpun mengurniakan titah perkenan untuk pemberian pengurangan cukai bangunan semasa (tax relief) bagi tahun 2021 kepada pembayar cukai bangunan komersial di bawah kawasan kawalan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria dan Lembaga Bandaran Tutong berikutan dengan penularan gelombang kedua wabak COVID-19 yang melanda negara ini semenjak 7hb Ogos 2021, yang mana sebilangan peniaga khususnya penyewa-penyewa bangunan komersial telah mengalami kesan terhadap aliran tunai masing-masing.

2. Objektif bagi pemberian pengurangan (relief) ini adalah:-

2.1. Objektif Pertama:

Sebagai galakan kepada pemilik bangunan komersial untuk meringankan beban penyewa-penyewa yang terjejas perniagaan mereka, dengan membebaskan atau mengurangkan kadar sewa;

2.2. Objektif Kedua:

Untuk membantu dari segi cash flow atau aliran kewangan pembayar cukai bangunan dan penyewa bagi hartanah komersial;

2.3. Objektif Ketiga:

Memastikan ianya tidak akan memberikan kesan yang lebih buruk ke atas tunggakan cukai bangunan; dan

2.4. Objektif Keempat:

Membantu mengurangkan beban kepada peniaga yang menjalankan perniagaan di bangunan komersial milik persendirian.

3. Garispanduan mengenai pemberian pengurangan (relief) bagi tuntutan cukai bangunan semasa untuk tahun 2021 kepada pembayar cukai bangunan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:-

3.1. Kadar tax relief Cukai Bangunan yang dihulurkan kepada Pemilik Bangunan yang menyewakan ruang bangunannya kepada peniaga-peniaga lain dengan syarat pemilik bangunan berkenaan mengurangkan sewa bagi tempoh sekurang-kurangnya lima (5) bulan secara berturut-turut dari 1hb Ogos 2021 seperti huraian berikut:

3.1.1.  Pemilik bangunan yang mengurangkan sewa bulanan kepada penyewa sebanyak 10% - 14% akan diberikan tax relief Cukai Bangunan sebanyak 20%;
3.1.2.  Pemilik bangunan yang mengurangkan sewa bulanan kepada penyewa sebanyak 15% - 19% akan diberikan tax relief Cukai Bangunan sebanyak 35%;

3.1.3.  Pemilik bangunan yang mengurangkan sewa bulanan kepada penyewa sebanyak 20% akan diberikan tax relief Cukai Bangunan sebanyak 50%; dan

3.1.4.  Pemilik bangunan yang tidak memberikan pengurangan sewa bulanan atau pengurangan hanya kurang daripada 10% dari sewa bulanannya tidak akan diberikan tax relief Cukai Bangunan.


3.2. Dengan mengambilkira perkembangan terkini dasar Kerajaan ke atas sekatan pergerakan dari pukul 8 malam hingga 4 pagi mulai 4hb Oktober 2021, untuk Pemilik Bangunan yang menggunakan bangunan bagi tujuan perniagaannya sendiri, dihulurkan kadar tax relief setelah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Jabatan-Jabatan Bandaran bersama-sama dengan Bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama-Nama Perniagaan (ROCBN), Kementerian Kewangan dan Ekonomi meneliti dan mempastikan bahawa perniagaan berkenaan adalah benar-benar perniagaan sendiri pemilik bangunan berkenaan:

3.2.1. Pemberian tax relief sebanyak 50% bagi lima (5) bulan dari 1hb Ogos 2021 sehingga 31hb Disember 2021 kepada kategori perniagaan yang berimpak tinggi yang telah diarahkan tutup dan yang terjejas dari segi pendapatan berikutan penularan wabak COVID-19 pada 7hb Ogos 2021 iaitu:

  • Gimnasium dan fitness centre;
  • Fasiliti sukan indoor dan outdoor;
  • Salon kecantikan dan kedai gunting rambut dibawah Establismen Kecantikan dan Kesihatan (EKK);
  • Internet cafe;
  • Leisure Centres;
  • Panggung Wayang;
  • Taman Permainan Kanak-Kanak;
  • Pusat Penjagaan Kanak-Kanak (Daycare);
  • Sekolah Memandu;
  • Galeri;
  • Perdagangan;
  • Perindustrian;
  • Hartanah Khas;
  • Kedai runcit / super store / supermarket;
  • Kedai makan dan restoran; dan
  • Kedai jahit.

3.3. Seterusnya syarat-syarat lain kepada Garispanduan pemberian tax relief 2021 adalah seperti berikut:-

3.3.1.  Bagi pemilik bangunan yang mempunyai tunggakan cukai bangunan dan hendak memohon tax relief cukai bangunan ini, permohonannya hanya akan diterima jika pemilik bangunan berkenaan memberikan kerjasama untuk membayar tunggakan cukai bangunan sekurang-kurangnya 10%;

3.3.2.  Permohonan tidak akan dipertimbangkan jika pemilik bangunan belum menjelaskan tunggakan sepertimana yang dipersetujui semasa membuat perjanjian tax relief pada tahun 2020;

3.3.3.  Pemilik bangunan yang telah dihulurkan tax relief cukai bangunan hendaklah menjelaskan cukai bangunan tahun 2021 dan 2022 sebelum tamat tempoh yang ditetapkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.  Jika gagal berbuat demikian, tax relief yang telah dibenarkan akan dibatalkan;

3.3.4.  Pemilik bangunan yang merupakan Syarikat Sendirian Berhad dan telah dihulurkan 50% tax discount untuk Tahun Taksiran 2022 (iaitu pembayaran cukai bagi Tahun Kewangan 2021) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi untuk tidak lagi dihulurkan tax relief cukai bangunan.  Dalam hubungan ini, pihak Jabatan-Jabatan Bandaran akan membuat penelitian bersama-sama dengan Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi;

3.3.5.  Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan Bandaran akan menilai permohonan-permohonan untuk melayakkan pemilik bangunan bagi tax relief yang dimaksudkan; dan

3.3.6. Permohonan-permohonan hendaklah dihadapkan ke Jabatan-Jabatan Bandaran tidak lewat 30 April 2022.

 

4. Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sukacita mengharapkan agar pemilik-pemilik premis perniagaan akan dapat bersama-sama membantu di dalam usaha menangani cabaran-cabaran berikutan dengan penularan wabak COVID-19 di negara ini khususnya di dalam mengurangkan kadar sewa bangunan yang disewakan.

5. Untuk maklumat lanjut, orang ramai, khususnya pembayar cukai bangunan, bolehlah menghubungi Jabatan-Jabatan Bandaran seperti berikut:-

 Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan

Tel: 2232424 ext. 120 / 7179900

Emel: info@bandaran-bsb.gov.bn


Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria

Tel: 3347300

Emel: property@bandaran-kb.gov.bn


Jabatan Bandaran Tutong

Tel: 4221009 / 8117115

Emel: property@bandaran-tutong.gov.bn

 
-TAMAT-

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Negara Brunei Darussalam

18 Rabiulawal 1443H / 25 Oktober 2021M

20211025 Siaran Akhbar Pemberian Pengurangan Cukai Bangunan Semasa (Tax Relief) Bagi Tahun 2021.pdf

Created at 26/10/2021 08:04 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 26/10/2021 08:08 by Kartini Binti Yakub