Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

ACARA PENANAMAN POKOK SEMPENA PROTOKOL HIJAU ANJURAN PUSAT PENGURUSAN BENCANA KEBANGSAAN

IMG-20210705-WA0018.jpg

BERAKAS, Sabtu, 3 Julai - Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menganjurkan Acara Penanaman Pokok Sempena Protokol Hijau dengan sokongan dari Jabatan Perhutanan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bertempat di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di acara tersebut ialah Yang Mulia Awang Md Amir Hairil bin Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Acara penanaman pokok ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi mendokong komitmen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai salah satu usaha dalam kesiapsiagaan bencana iaitu bagi mengurangkan impak kejadian tanah susur. Tambahan lagi, penanaman pokok ini dilaksanakan dengan mengikut Garispandu Protokol Hijau untuk mencapai sasaran negara dalam melaksanakan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Do'a Selamat dan seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Awangku Muhammad Naaim Syafi bin Pengiran Haji Besman, Pegawai Pengurusan Bencana, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Sebanyak 101 pohon pokok yang terdiri dari Cassia Fistula, Kapur Bukit, Meranti Kawang Tikus, Mang dan Keruing Sindor telah ditanam di kawasan Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas.

Turut hadir menyertai acara tersebut ialah Yang Berhormat Khairunnisa binti Ash'ari, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Yang Mulia Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Hj Muhd Jamin, Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Yang Mulia Awang Shahrin bin Haji Mohd. Jawie, Pemangku Timbalan Pengarah Pengurusan Bencana Kebangsaan dan wakil dari Sekretariat Iklim Brunei Darussalam serta para pegawai dan kakitangan dari Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Created at 06/07/2021 10:24 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 06/07/2021 10:26 by Kartini Binti Yakub