Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

ACARA-ACARA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE-75 BAGI TAHUN 2021

Logo Perayaan 2020.gif

1. Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-75 bagi Tahun 2021 sukacita memaklumkan kepada orang ramai bahawa sempena memperingati dan meraikan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-75 pada tahun ini, iaitu pada hari Khamis, 05 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan 15 Julai 2021 Masehi, Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-75 Bagi Tahun 2021 telah menyusun acara-acara Sambutan 2 Perayaan dalam norma baru dengan mematuhi Garis Pandu Kementerian Kesihatan yang berkaitan dalam langkah-langkah bagi membendung penularan wabak COVID-19, protokol-protokol keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Aturcara-Aturcara Istiadat, Majlis dan Upacara Sambutan Perayaan yang diadakan. 

2. Untuk memeriahkan dan menyemarakkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini, saya seterusnya ingin memaklumkan acara-acara seperti berikut:-

2.1 Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam akan diadakan pada hari Khamis, 20 Zulkaedah 1442 Hijrah bersamaan dengan 01 Julai 2021 Masehi jam 8.00 pagi, bertempat di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. 

2.2 Majlis Sembahyang Fardhu Maghrib Dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaasin, Tahlil Dan Doa Kesyukuran akan diadakan pada hari Rabu, 05 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan dengan 14 Julai 2021 Masehi di ke semua masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong bermula jam 5.45 petang. 

2.2.1 Sehubungan dengan ini, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kerajaan serta orang ramai yang berugama Islam adalah diharapkan dan dialu-alukan untuk bersama-sama hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh Negara khususnya di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong bagi bersama-sama meramaikan dan memohon doa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

2.3 Istiadat Perbarisan Kehormatan akan diadakan pada pagi hari Khamis, 05 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan dengan 15 Julai 2021 Masehi. Istiadat Perbarisan Kehormatan akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan bermula jam 7.20 pagi. 

2.4 Istiadat Mengadap Dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam akan diadakan sebaik saja Istiadat Perbarisan Kehormatan selesai. Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam akan diadakan di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman. 

2.5 Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Dan Penduduk akan diadakan di daerah-daerah seperti berikut:- 

2.5.1 Pada hari Ahad, 15 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan 25 Julai 2021 Masehi, akan diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong bermula jam 8.30 pagi.

2.5.2 Pada hari Selasa, 17 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan 27 Julai 2021 Masehi, akan diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Daerah Temburong bermula jam 8.30 pagi. 

2.5.3 Pada hari Ahad, 22 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan 01 Ogos 2021 Masehi, akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan bermula jam 7.00 pagi. 

2.5.4 Pada hari Selasa, 24 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan 03 Ogos 2021 Masehi, akan diadakan di Padang Bandaran, Kuala Belait bermula jam 8.30 pagi. 

2.5.5 Sekali lagi, para jemputan yang akan menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Dan Penduduk adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi Garis Pandu Kementerian Kesihatan yang berkaitan dalam langkah-langkah bagi membendung penularan wabak COVID-19, protokol-protokol keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Dan Penduduk. 

2.6 Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam akan diadakan pada hari Sabtu, 21 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan dengan 31 Julai 2021 Masehi pada jam 2.00 petang bertempat di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

2.7 Acara-Acara Sampingan seperti Acara-Acara Keraian Malam dan Gerai-Gerai Perayaan akan diadakan di keempat-empat daerah bermula hari Khamis, 05 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan dengan 15 Julai 2021 Masehi hingga 24 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan dengan 03 Ogos 2021 Masehi di tempat-tempat berikut:- 

i) Bagi Daerah Brunei dan Muara akan diadakan di Kawasan Lapang Letak Kereta berhadapan dengan Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan; 

ii) Bagi Daerah Belait akan diadakan di Kawasan Gerai Tudung Saji, Kuala Belait; 

iii) Bagi Daerah Tutong akan diadakan di Kawasan Lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong; dan 

iv) Bagi Daerah Temburong akan diadakan di Kawasan Taman Perayaan, Pekan Bangar. 

2.7.1 Semua gerai-gerai ini akan beroperasi bermula jam 5.00 petang hingga 10.30 malam. 

2.7.2 Sehubungan dengan ini, orang ramai adalah dialu-alukan bagi menghadiri, meraikan dan menyemarakkan serta memeriahkan acara-acara sampingan iaitu acara-acara keraian malam dan gerai-gerai perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-75 pada tahun ini dengan mematuhi nasihat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan. 

3. Marilah kita sama-sama selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dengan hati yang tulus ikhlas dan penuh kesyukuran menghadirkan diri bagi meraikan dan memeriahkan acara-acara Sambutan Perayaan sebagai lambang rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

4. Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa’taala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta Kerabat Diraja akan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dilanjutkan usia, sihat wal’afiat, dan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kekal qarar memerintah di atas takhta Singgahsana Kerajaan dan memimpin Negara Brunei Darussalam dengan mendapat rahmat, taufiq dan hidayah Allah Subhanahu Wata’ala. Amiin Amiin Ya Rabbal A’lamiin. 

-TAMAT-

KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI 

Negara Brunei Darussalam 

19 Zulkaedah 1442H / 30 Jun 2021M

Siaran Akhbar Acara-Acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM 2021.pdf

Created at 01/07/2021 04:03 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 01/07/2021 04:03 by Kartini Binti Yakub