Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

KEMPEN KEBERSIHAN SENEGARA

20210614_bahasa-melayu12.jpg

Sebanyak 2,782.5 kilogram (kg) sampah secara keseluruhan berjaya dikumpul pada Kempen Kebersihan Persisiran Pantai bagi Serpihan Laut atau 'Marine Debris' yang dikelolakan oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan juga Belait.
 
Serpihan laut merupakan salah satu masalah alam sekitar yang utama di peringkat kebangsaan, serantau dan juga antarabangsa.
 
Sehubungan itu, di Taman Rekreasi Pantai Muara, Daerah Brunei dan Muara, kempen tersebut berjaya mengumpul 1,693kg sampah yang meliputi 452kg sisa plastik botol.
 
Hadir selaku tetamu kehormat yang juga selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
 
Juga hadir bagi sama-sama menjayakan kempen tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
 
Kempen yang membawa slogan 'It Takes A Nation to Make Brunei Environment Clean' ini adalah kolaborasi bersama dengan BIBD. Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan taklimat keselamatan serta senaman ringan.
 
Kemudian acara diteruskan dengan perasmian poster 'Wira Pantai' / 'Coastal Marvel' yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan; Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dan seterusnya perasmian penempatan peniaga trak makanan bergerak (food trucks) oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, sebelum aktiviti penanaman pokok dan juga kempen kebersihan bermula.
 
Kempen Kebersihan Senegara 2021 di bawah Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan dilancarkan pada 5 Jun 2021 sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang membawakan tema 'Ecosystem Restoration' atau 'Pemulihan Ekosistem'.
 
Kempen ini terbahagi kepada dua, iaitu kempen kebersihan di persisiran pantai (serpihan laut / marine debris) yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan dan kempen kebersihan di darat pula diterajui oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).
 
Tujuan utama kempen ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mengurangkan sisa yang dibuang ke persekitaran laut terutamanya sisa plastik.
 
Manakala, objektif kempen juga adalah untuk mengumpul ‘baseline data’ atau data asas serpihan laut di kawasan persisiran; mengenal pasti jenis serpihan laut yang ada dan memperkasa masyarakat untuk menanamkan rasa tanggungjawab dalam melindungi serta memelihara alam sekitar melalui kaedah pembuangan sampah yang betul.
 
Secara keseluruhannya, kempen ini akan diadakan sekali setiap bulan dan dilaratkan sehingga bulan Disember 2021. Maklumat lanjut dan informasi terkini mengenai kempen ini akan dikongsikan di laman Instagram jabatan, ‘@jastre.bn’.
 
Turut hadir semasa acara tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong dan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari.
 
Sumber: Pelita Brunei 


Created at 17/06/2021 15:01 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 17/06/2021 15:02 by Kartini Binti Yakub