Rabu, 06 Januari 2021 - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri hari ini menganjurkan satu taklimat khas menjurus kepada penerapan iman dan amanah bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan Dibawahnya iaitu Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bertempat di Dewan Tripartite, Jabatan Buruh.
Taklimat khas ini termasuk Peraturan-Peraturan Am Perkhidmatan Awam (General Orders) dan Rukun Akhlak dan Etika Kerja menjurus kepada penerapan iman dan amanah yang masing-masing disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Nira Niryanna binti Suhaili, Pegawai Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Yang Mulia Awang Mohammad Adi Zaky bin Haji Matasim, Pegawai Kaunselor Jabatan Perkhidmatan Awam.
Para peserta juga berkesempatan untuk mendengarkan taklimat khusus mengenai amanah dan tanggungjawab bekerja yang turut disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd. Azmi bin Haji Omar, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Antara tujuan taklimat ini diadakan ialah untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan awam melalui taklimat yang berterusan kepada warga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.
Lebih kurang 62 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan Dibawahnya iaitu Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan menghadiri taklimat berkenaan.