1. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan ini sukacita memaklumkan
bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telahpun mengurniakan titah
perkenan untuk pemberian pengurangan cukai bangunan semasa (tax
relief) bagi tahun 2020 kepada pembayar cukai bangunan komersial di
bawah kawasan kawalan Lembaga-Lembaga Bandaran.
2. Langkah ini adalah sebagai satu lagi usaha pihak Kerajaan bagi membantu
meringankan beban kewangan kepada sektor perniagaan yang terkesan
berikutan dengan penularan wabak COVID-19 yang melanda Negara ini
semenjak 9 Mac 2020. Usaha ini adalah sebagai tambahan kepada
langkah-langkah dan pakej bantuan ekonomi tambahan yang telah
dimaklumkan sebelum ini oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dalam sidang
akhbar pada 21, 28 dan 30 Mac 2020 yang lalu.
3. Objektif bagi pemberian pengurangan (relief) ini adalah:-
3.1 PERTAMA: Sebagai galakan kepada pemilik bangunan komersial
untuk meringankan bebanan penyewa-penyewa yang terjejas perniagaan mereka, iaitu dengan membebaskan atau
mengurangkan kadar sewa;
Insentif ini adalah juga selaras pada menjunjung Titah Perutusan
Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan
Jangkitan Wabak COVID-19 pada 13 April 2020:
“Sebagai tanda ihsan dan belas kasihan, dalam keadaan
sekarang, elok juga rasanya kalau para pemilik premis-premis
sewa, seperti kedai-kedai seumpamanya, menimbangkan untuk
turut meringankan beban penyewa-penyewa yang terjejas
perniagaan mereka, dengan membebaskan atau mengurangkan
kadar sewa untuk beberapa waktu sehingga wabak ini berakhir.
Kalau ini dapat dibuat, maka tidak syak lagi, ia adalah satu
sedekah yang imbalannya adalah pahala.”
3.2 KEDUA: Untuk membantu dari segi cash flow atau aliran tunai
pembayar cukai bangunan dan penyewa bagi hartanah komersial;
3.3 KETIGA: Untuk membantu mengurangkan kesan yang lebih
buruk ke atas pembayaran tunggakan cukai bangunan.
4. Keterangan mengenai pemberian pengurangan (relief) bagi tuntutan cukai
bangunan semasa untuk tahun 2020 kepada pembayar cukai bangunan
yang dimaksudkan adalah seperti berikut:-
Pengurangan kadar cukai bangunan ini hanya akan diberikan kepada
pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan
pengurangan atau pembebasan sewa kepada penyewa premis perniagaan. Pengurangan kadar cukai ini adalah tertakluk kepada
beberapa syarat seperti berikut:-
4.1 PERTAMA: Pemilik bangunan hendaklah mengurangkan sewa
bulanan sekurang-kurangnya 10% daripada kadar sewa bulanan
asal bagi tempoh 6 bulan.
4.2 KEDUA: Pengurangan kadar cukai bangunan ini akan diberikan
kepada pemilik hartanah (premis) yang disewakan atau kegunaan
sendiri bagi kategori-kategori berikut:
4.2.1 Dalam kategori komersial, iaitu yang digunakan bagi
perdagangan, perindustrian dan hartanah khas (seperti
hotel atau stesen minyak); dan
4.2.2 Dalam kategori kediaman, iaitu yang digunakan bagi
perniagaan atau perdagangan home-based iaitu seperti day
care, kedai jahit atau kedai runcit.
4.3 KETIGA: Pertimbangan pengurangan cukai bangunan kepada
pemilik bangunan yang mempunyai tunggakan adalah tertakluk
kepada perkara-perkara berikut:-
4.3.1 Pemilik bangunan berkenaan hendaklah telah menjelaskan
sekurang-kurangnya sebanyak 10% daripada keseluruhan
jumlah tunggakannya;
4.3.2 Pemilik bangunan yang belum menjelaskan sekurangkurangnya sebanyak 10% daripada keseluruhan jumlah
tunggakannya hendaklah memberikan komitmen bertulis dengan menandatangani surat perjanjian pembayaran
tunggakan.
4.4 KEEMPAT: Pemilik bangunan untuk menghadapkan permohonan
dengan menyertakan dokumen-dokumen dan keteranganketerangan yang lengkap ke Jabatan-Jabatan Bandaran yang
berkenaan.
5. Pemberian Pengurangan Kadar Cukai Bangunan adalah berdasarkan
jumlah pengurangan sewa bulanan seperti pecahan berikut:-
i. Pemilik bangunan yang mengurangkan sewa bulanan kepada
penyewa sebanyak 10% - 14%, akan diberikan pengurangan
kadar cukai bangunan sebanyak 20%;
ii. Pemilik bangunan yang mengurangkan sewa bulanan kepada
penyewa sebanyak 15% - 19%, akan diberikan pengurangan
kadar cukai bangunan sebanyak 35%;
iii. Pemilik bangunan yang mengurangkan sewa bulanan kepada
penyewa sebanyak 20% dan ke atas, akan diberikan
pengurangan kadar cukai bangunan sebanyak 50%;
iv. Pemilik bangunan yang tidak memberikan pengurangan sewa
bulanan atau pengurangan hanya kurang daripada 10% dari
sewa bulanannya tidak akan diberikan pengurangan kadar
cukai bangunan.
6. Di dalam hubungan ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sukacita
mengharapkan agar pemilik-pemilik premis perniagaan akan dapat
bersama-sama membantu di dalam usaha menangani cabaran-cabaran
berikutan dengan penularan wabak COVID-19 di negara ini khususnya di
dalam mengurangkan kadar sewa bangunan yang disewakan.
7. Untuk maklumat lanjut, orang ramai, khususnya pembayar cukai
bangunan, bolehlah menghubungi pihak Jabatan-Jabatan Bandaran
seperti berikut:-
Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan
Tel: 2232424 ext. 120 / 7179900
Emel: info@bandaran-bsb.gov.bn
Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria
Tel: 3347300
Emel: property@bandaran-kb.gov.bn
Jabatan Bandaran Tutong
Tel: 4221009 / 8117115
Emel: property@bandaran-tutong.gov.bn
-TAMAT
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Negara Brunei Darussalam
13 Ramadan 1441H / 07 Mei 2020M
Siaran Akhbar MOHA 07 Mei 2020 Pemberian Pengurangan Cukai Bangunan.pdf