Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

TAKLIMAT PEMBERIGAAN MENGENAI CADANGAN BAGI MENGADAKAN SISTEM PAROL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


​Bandar Seri Begawan, 09 April 2020 - Taklimat pemberigaan mengenai cadangan bagi mengadakan Sistem Parol di Negara Brunei Darussalam telah diadakan di Dewan Serbaguna, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Bandar Seri Begawan hari ini. Taklimat ini dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Jabatan Penjara.

Taklimat ini disampaikan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan bertujuan untuk memberigakan dan meningkatkan kefahaman mengenai sistem parol yang dicadangkan akan diadakan di negara ini.
 
Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Penjara, Dk Suri Liza binti Pg Haji Ahmad.
 
Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada masa ini sedang mengkaji dan merancang inisiatif baru iaitu sistem parol bagi mewujudkan program pemulihan di luar tembok penjara (Community Corrections) untuk menyahut cabaran transformasi organisasi yang melibatkan penambahbaikan dalam aspek penahanan, pemulihan, latihan kakitangan, fasiliti penjara dan pengintegrasian bekas penghuni penjara.
 
Sistem Parol adalah amalan yang telah dibuat di luar negara dan terbukti dapat mengurangkan kadar  kemasukan semula banduan ke dalam penjara. Di samping itu ianya akan dapat menjimatkan  kos operasi penjara,  mengurangkan kesesakan dalam penjara, mengurangkan residivis dan seterusnya mengeratkan keharmonian dan kesejahteraan keluarga.
 
Parol bererti pelepasan seorang banduan untuk menjalani baki hukuman dil uar institusi penjara mengikut perintah yang diperuntukan di dalam Akta Penjara. Dalam perintah ini orang yang di parol akan berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan dan seterusnya dikehendaki untuk melaporkan diri mengikut jadual yang ditetapkan  untuk mengikuti program pemulihan yang telah ditetapkan oleh Bahagian Parol, Jabatan Penjara.
 
Taklimat pemberigaan  diakhiri dengan sesi soal jawab.
 
Hadir semasa taklimat tersebut ialah Awang Ajman bin Haji Meludin, Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan pihak yang berkepentingan.
Created at 11/04/2020 16:12 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 11/04/2020 16:12 by Kartini Binti Yakub