Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

KENYATAAN BERKENAAN KEDUDUKAN WARGA NEGARA BANGLADESH DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Siaran Akhbar MOHA 06042020 Kedudukan Warga Bangladesh di NBD final-1.jpg

 1. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ingin memberikan respon kepada kebimbangan orang ramai yang ditimbulkan dalam media sosial dan satu artikel dari laman sesawang di Bangladesh bertarikh 6 April 2020, berhubung penularan wabak COVID-19 yang dikaitkan dengan kehadiran pekerja warganegara Bangladesh di negara ini dalam jumlah 25,000 orang yang dinyatakan dan di anggap sebahagian besar daripadanya tidak mempunyai dokumentasi yang sah (undocumented workers) untuk berada di negara ini dan 7 orang disahkan positif. 

2. Sehubungan dengan ini, menurut maklumat pihak Kementerian Kesihatan, hanya seramai dua (2) orang pekerja warganegara Bangladesh di negara ini, yang telah disahkan positif COVID-19. Kos rawatan termasuk ujian makmal bagi COVID-19 adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan. Kedua-dua pekerja warganegara Bangladesh ini telah dibenarkan pulang ke majikannya selepas menjalani rawatan di Pusat Pemantauan Kebangsaan. 

3. Mengenai dua (2) orang warga asing Bangladesh yang telah didapati positif COVID19 itu, keberadaan mereka di negara ini adalah jua melalui proses tapisan / penilaian yang melibatkan berbagai agensi termasuk di dalam dan luar negeri iaitu melalui pihak perwakilan Negara Brunei Darussalam di Republik Rakyat Bangladesh dan juga dipersyaratkan melalui agensi atau Kementerian yang berkenaan di Republik Rakyat Bangladesh. 

4. Untuk makluman bersama, menurut statistik banci majikan dan pekerja (labour census) bagi tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, terdapat seramai 12,841 pekerja warganegara Bangladesh di negara ini dan 73% daripadanya iaitu 9,400 bekerja di sektor pembinaan. 

5. Berkenaan dengan kedudukan warganegara asing yang tidak mempunyai dokumen sah (undocumented migrants), berasaskan statistik Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bagi tempoh 2019 sehingga Mac 2020, warganegara asing yang didapati berada di negara ini tanpa dokumen-dokumen tertentu adalah seramai 13 orang terdiri daripada 12 orang warganegara Malaysia dan seorang warganegara Indonesia. 

6. Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Buruh akan sentiasa dari semasa ke semasa melaksanakan pemeriksaan untuk memastikan peraturan dan undang-undang berkaitan dengan Pekerja Asing akan sentiasa dipatuhi. Dalam hal ini, dari statistik Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan juga menunjukkan bahawa bagi tempoh yang sama, jumlah warganegara asing pemegang pas kerja yang telah didapati menyalahi atau melanggar syarat-syarat pas kerja adalah seramai 110 orang terbahagi kepada kategori “tidak bekerja dengan majikan asal” dan “membuat aktiviti perniagaan dan berjaja”. Daripada 110 yang telah dikenakan tindakan, seramai 68 orang adalah warganegara Bangladesh, 22 orang adalah warganegara India dan 13 adalah warganegara Indonesia. Mereka yang bersalah telah dikenakan tindakan kompaun dan setelah itu diusir dan disenaraikan dalam senarai yang ditegah masuk ke negara ini. Berkenaan dengan penguatkuasaan ke atas tempat tinggal pekerja pula, sebanyak 18 amaran telah dikeluarkan oleh Jabatan Buruh kepada majikan kerana tidak menyediakan tempat tinggal yang kondusif dan jika berlarutan selepas pemeriksaan susulan, Jabatan Buruh akan mengambil tindakan membatalkan lesen pekerja asing syarikat-syarikat berkenaan. 

7. Berikutan dengan ini, adalah diingatkan bahawa setiap majikan adalah bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja-pekerja di bawah jaminannya di antaranya dengan mengetahui akan aktiviti-aktiviti dan keberadaan mereka dan menyediakan tempat tinggal yang kondusif sepertimana menurut Perintah Pekerjaan 2009. Untuk itu, dipohonkan kerjasama para majikan untuk melaporkan status kesihatan pekerja masing-masing yang mempunyai simtom-simtom tertentu; menekankan supaya pekerja-pekerja mematuhi nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan seperti penjarakkan sosial dan meningkatkan tahap kebersihan pekerja masing-masing termasuk kebersihan tempat tinggal dan persekitaran kerja mereka bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini. 

8. Bab 83(2) Perintah Pekerjaan 2009 menghendaki majikan untuk memastikan pekerja yang sakit semasa menjalankan pekerjaannya dan memerlukan perhatian perubatan untuk diberikan rawatan dengan seberapa segera di hospital atau klinik perubatan. Kegagalan berbuat demikian adalah menjadi kesalahan, dan jika sabit boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000 atau hukuman penjara bagi tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua nya sekali. 

9. Dalam hal ini juga, merujuk kepada beberapa sidang media sebelum ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan telah melaksanakan beberapa tindakan tegahan kemasukan warganegara asing ke negara ini yang berkuatkuasa mulai pada 21 Mac 2020 bagi pekerja sahaja dan secara keseluruhannya pada 24 Mac 2020, termasuk perubahan masa beroperasi pos-pos kawalan Imigresen bagi sempadan-sempadan laluan darat, dengan pertimbangan khas hanya diberikan kepada sektor-sektor kritikal. Dalam masa yang sama, warganegara asing yang diberikan kebenaran khas ini juga akan diarahkan untuk menjalani pengasingan diri di pusat-pusat pengasingan yang disediakan oleh kerajaan setiba mereka ke negara ini bagi tempoh 14 hari.

Siaran Akhbar MOHA 06042020 Kedudukan Warga Bangladesh di NBD final.pdf

Created at 07/04/2020 06:42 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 07/04/2020 06:43 by Kartini Binti Yakub