Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

​KELAYAKAN CUTI SAKIT BAGI PEKERJA DI SEKTOR SWASTA

Siaran Akhbar MOHA _01 April 2020 Kelayakan Cuti Sakit Bagi Pekerja Di Sektor Swasta-1.jpg

 1. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sukacita merujuk kepada soalan yang ditimbulkan dalam salah satu sesi sidang media yang telah diadakan pada hari Ahad, 22 Mac 2020 yang lalu mengenai dengan kelayakan cuti sakit bagi pekerja sektor swasta yang belum mencapai sekurang-kurangnya enam (6) bulan perkhidmatan dengan majikannya. 

2. Berikutan dengan isu yang ditimbulkan, Jabatan Buruh telah mengambil tindakan meneliti peruntukan undang-undang berkenaan dengan kelayakan cuti sakit yang digariskan di dalam Perintah Pekerjaan 2009 atau Employment Order 2009. Dengan yang demikian, setelah mengambil kira kepentingan orang awam atau public interest dalam mana negara kita sedang menghadapi situasi COVID-19 pada ketika ini, adalah dimaklumkan bahawa pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, tempoh minima perkhidmatan bagi pekerja di sektor swasta bagi mendapatkan kelayakan cuti sakit adalah dengan ini dipinda kepada ‘apabila tempoh perkhidmatan pekerja dengan majikannya telah mencapai sekurang-kurangnya satu (1) bulan sahaja’. Perubahan ini adalah berbentuk sementara dan mula berkuatkuasa bermula 9hb Mac 2020 sehingga ke satu (1) tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, yang mana tertakluk kepada situasi wabak COVID-19 yang sedang kita sama-sama tangani pada masa ini. 

3. Tujuan utama pindaan ini adalah pada menjaga kemasalahatan pekerja-pekerja di sektor swasta yang belum mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam (6) bulan dan jika terpaksa, akan menjalani cuti tidak bergaji semasa menjalani perintah kuarantin dan pengasingan diri atas arahan pihak Kerajaan bagi tempoh minima selama empat belas (14) hari atau lebih, tertakluk kepada rawatan lanjut jika diperlukan, yang mana adalah sangat kritikal dalam membendung penularan wabak COVID-19 dan menjaga kebajikan individu-individu yang terlibat. Tempoh satu (1) bulan yang dicadangkan adalah juga untuk mengseimbangkan kepentingan majikan supaya mana-mana pekerja yang terlibat telah sekurang-kurangnya menyumbang kepada syarikat di mana pekerja berkenaan berkhidmat. 

4. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga ingin memaklumkan bahawa pindaan ini juga telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk pihak Manpower Planning and Employment Council dan juga beberapa syarikat swasta yang turut terjejas dengan penularan wabak COVID-19. 

5. Dalam beberapa sesi sidang media sebelum ini, kita juga telah mendengar berbagai langkah-langkah dokongan yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II yang dihulurkan kepada syarikat-syarikat di sektor swasta dan individu bagi mengimbangi impak daripada COVID-19. Dengan adanya, langkah-langkah ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berharap dan meminta kerjasama setiap majikan untuk terus menjaga kebajikan pekerja masing-masing dengan memberikan alternatif-alternatif lain dalam menangani impak kepada pekerja masing-masing contohnya dengan memberikan cuti tahunan secara pendahuluan (advanced leave) bagi mereka yang belum layak cuti sakit iaitu bagi mereka yang masih belum terlindung dengan pindaan ini, melaksanakan flexible working hours, mencalonkan pekerja untuk menjalani program-program reskiling dan upskiling dan seumpamanya. 

6. Untuk maklumat lanjut, orang ramai khasnya para majikan boleh berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja). 

-TAMAT-

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri 

Negara Brunei Darussalam 

07 Syaaban 1441H / 01 April 2020M

Siaran Akhbar MOHA _01 April 2020 Kelayakan Cuti Sakit Bagi Pekerja Di Sektor Swasta.pdf

Created at 02/04/2020 06:38 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 02/04/2020 06:40 by Kartini Binti Yakub