Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

​LAWATAN KERJA KE AKTIVITI PEREKONOMIAN 1K1P

WhatsApp Image 2020-02-17 at 5.02.50 PM.jpeg

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEBRUARI 2020 – Program lawatan kerja Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke Daerah Brunei dan Muara hari ini tertumpu kepada aktiviti perekonomian Satu Kampung Satu Produk yang dikendalikan oleh beberapa buah Majlis-Majlis Perundingan Kampung (MPK) khususnya MPK Tungku/Katok, MPK Jerudong dan MPK Katimahar. Lawatan kerja ini adalah kesinambungan lawatan kerja Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri di Daerah Brunei dan Muara yang telah diadakan pada 03 Februari 2020.

Lawatan Yang Berhormat Pehin serta rombongan bermula di Ladang Nenas yang diusahakan secara berkelompok oleh MPK Tungku/Katok. Awang Haji Ismail bin Haji Rajab, Ketua Kampung Tungku/Katok mengalu-alukan ketibaan rombongan kementerian. Rombongan kemudian mendengarkan taklimat mengenai perkembangan produk 1K1P MPK Tungku / Katok dari Ketua Kampung Tungku / Katok. Seterusnya Yang Berhormat Pehin beserta rombongan membuat lawatan ke ladang nenas. (Sila lihat info mengenai ladang nenas yang diberikan)

Seterusnya, Yang Berhormat Pehin serta rombongan membuat lawatan aktiviti perekonomian MPK Jerudong. Rombongan telah mendengar taklimat mengenai produk perekonomian yang diusahakan oleh ahli-ahli MPK Jerudong iaitu Taman Lebah Kelulut Mejawa Jerudong yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Kampong Jerudong ‘B’ (Kampung Peninjau), Awang Haji Kamis bin Panjang.  

Lawatan diteruskan ke MPK Katimahar untuk melihat Taman Agri MPK Katimahar. Rombongan telah meninjau kawasan Taman Agri. Awang Haji Zainal bin Haji Safar selaku Pengurus Taman telah memberikan taklimat mengenai Taman Agri MPK Katimahar. 

Lawatan ini adalah usaha berterusan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Jabatan-Jabatan Daerah untuk meninjau kegiatan-kegiatan yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) dalam membantu pihak kerajaan meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat kampung khususnya melalui program-program kerja yang berunsurkan perekonomian. Selain itu ianya juga bertujuan untuk melihat perkembangan dan kemajuan kampung tersebut, dan untuk mengeratkan lagi perhubungan antara pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan pimpinan di peringkat akar umbi khususnya penghulu dan ketua kampong. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri adalah menggalakkan usaha di peringkat akar umbi untuk mengembang-majukan program satu kampung satu produk. Ia menjadi sebahagian daripada kegiatan dalam program ekonomi kemasyarakatan oleh penduduk-penduduk secara berkumpulan di bawah payung Majlis-Majlis Perundingan Kampung dan Mukim. Satu Kampung Satu Produk adalah sebahagian daripada pemangkin semangat bekerjasama dan bersatu padu dalam kalangan masyarakat kampung. Siri lawatan ini akan diteruskan dari masa ke masa bagi mengeratkan lagi kerjasama dan persefahaman yang sedia terjalin serta mengukuhkan rangkaian kerja dengan Institusi Mukim dan Kampung dalam memelihara kesejahteraan serta kebajikan rakyat dan penduduk.

Menyertai rombongan lawatan kerja ini ialah Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah); Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah); Pegawai Daerah Brunei dan Muara; Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.


Created at 19/02/2020 09:28 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 19/02/2020 09:28 by Kartini Binti Yakub