Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

PENUBUHAN TABUNG AMAL MANGSA KEBAKARAN KAMPONG PENGIRAN BENDAHARA LAMA


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan satu tabung yang dikenali sebagai Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampong Pengiran Bendahara Lama untuk mengumpulkan derma atau sumbangan seangkat-angkat hati dalam bentuk wang ringgit daripada rakyat dan penduduk di Negara Darussalam bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa kebakaran Kampong Pengiran Bendahara Lama.

Sehubungan dengan itu, Tabung Amal ini bermula pada 14 Januari 2020 sehingga 29 Februari 2020. Penetapan tempoh ini dibuat adalah bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

Untuk itu, bagi orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan bolehlah menderma melalui tabung-tabung yang disediakan di masjid-masjid di seluruh Negara, bangunan jabatan-jabatan Daerah di keempat-empat daerah, gedung-gedung perniagaan ataupun menghantarkannya terus kepada Urusetia Bersama Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampong Pengiran Bendahara Lama di Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama Berakas, pada waktu pejabat. Bagi yang ingin menyumbangkan derma melalui bank bolehlah berbuat demikian melalui Bank Islam Brunei Darussalam - Nombor Akaun 00-001-01-0064212.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan yang juga Penasihat Bersama Jawatankuasa Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampong Pengiran Bendahara Lama telah hadir dan seterusnya mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampong Pengiran Bendahara Lama bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Penubuhan Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampong Pengiran Bendahara Lama ini adalah berikutan dengan kejadian kebakaran yang berlaku pada 8 Januari 2020 yangmana telah meranapkan 12 buah rumah dan merosakkan 4 buah rumah di Kampong Pengiran Bendahara Lama. Berikutan dengan kejadian ini, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah memberikan penempatan sementara bagi mangsa kebakaran yang ranap di Pusat Penempatan Sementara Sungai Akar. Pihak JAPEM juga telah memberikan bantuan kewangan kerajaan kepada mangsa-mangsa kebakaran pada 13 Januari 2020 dan pihak Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah memulakan pembaikan jambatan utama mulai 13 Januari 2020.

Hadir di mesyuarat tersebut ialah Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pg Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampong Pengiran Bendahara Lama; Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan yang juga selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampong Pengiran Bendahara Lama; Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abd. Razak, Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pegawai-pegawai daerah, pemangku pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan kerajaan, agensi-agensi yang berkenaan dan pihak swasta.
Created at 15/01/2020 20:54 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 15/01/2020 20:54 by Kartini Binti Yakub