Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI MENINJAU KAWASAN TERJEJAS BANJIR DI DAERAH BELAIT

WhatsApp Image 2019-12-03 at 5.12.48 PM.jpeg

BELAIT, 3 November - Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan telah membuat lawatan tinjauan ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir di Daerah Belait hari ini.  

Sebelum meninjau ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir, Yang Berhormat Pehin telah mendengar penerangan dari Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait mengenai status terkini dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir.

Laporan banjir yang diterima sejak 29 November 2019 hingga hari ini telah menjejaskan beberapa kawasan di Daerah Belait iaitu di Kg Merangking Hilir,  Kg Sungai Mau, Jalan Kandul, Jalan Laid Lakang, dan Kg Sukang yang  melibatkan sebanyak 17 buah rumah dan 79 orang penduduk kampung.  

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait telah membuat beberapa persediaan menghadapi banjir dengan memantau paras air setiap hari melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi B, Cawangan Belait bermula 1 Oktober 2019. Pihak DDMC juga menghulurkan catuan makanan kepada penduduk kampung yang terjejas bermula 1 November 2019 melalui pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat dan juga pengangkutan berupa perahu jenis fibre untuk kegunaan penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan sungai. Pos Perintah Insiden  (ICP) telah diaktifkan di Dewan Serbaguna Kampung Merangking bermula 3 Disember 2019. 

Yang Berhormat Pehin telah meninjau ke beberapa kawasan terjejas banjir iaitu Spg 1366 Kg Merangking Hilir, Jalan Kandul, Jalan Laid Lakang, dan Kg Sungai Mau,  seterusnya menghulurkan catuan makanan kepada empat buah keluarga yang terjejas banjir di Jalan Kandul dan empat  buah keluarga di Kg Sungai Mau. 

Sebagai usaha bersepadu dan muafakat, agensi-agensi Kerajaan khususnya Penghulu Mukim, Ketua Kampung, Jabatan Daerah Belait, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Perkhidmatan Perubatan Kecemasan ambulan (EMAS), Pusat Kesihatan Kuala Belait, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Polis Diraja Brunei dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bekerjasama dan membuat pemantauan secara berterusan ke atas kawasan-kawasan yang terjejas banjir. 

Hadir sama menyertai lawatan kerja tersebut ialah Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Pemangku Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Mulia Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait, Awang Shahrin bin Haji Mohd Jawie, Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan;  serta pegawai-pegawai agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan.


Created at 04/12/2019 10:55 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 04/12/2019 10:55 by Kartini Binti Yakub