Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

UPACARA PENGIBARAN BENDERA BESAR NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE-73 TAHUN

IMG_20190701_082706.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI - Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73 Tahun diadakan pada hari Isnin, 26 Syawal 1440H bersamaan 1 Julai 2019M bertempat di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di upacara tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara selaku Penasihat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-73 Tahun.

Hadir sama di upacara tersebut Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-73 Tahun, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kebangsaan, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung di Daerah Brunei dan Muara, pihak swasta, dan para jemputan dari intitusi-institusi pengajian tinggi, pasukan-pasukan kadet, Persatuan Pengakap, Persatuan Palang Merah, Program Khidmat Bakti Negara, penuntut-penuntut sekolah dan golongan belia termasuk Persatuan-Persatuan Belia.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat.

Seterusnya, pasukan seramai 73 orang Pembawa Bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada anggota-anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei. Kemudian Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota-anggota Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk dengan diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei. Setelah itu, penerimaan dan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang berukuran 3.7m x 7.5m disempurnakan oleh Tetamu Kehormat untuk seterusnya dinaikkan dan dikibarkan.

Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dinyanyikan oleh Kumpulan Koir dari Dewan Bahasa dan Pustaka, pemenang Pertandingan Koir anjuran Jabatan Penerangan sempena Hari Kebangsaan, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri  dengan diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.

Tetamu Kehormat seterusnya menyempurnakan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran 2.5m x 1.2m dan Poster-Poster Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-73 Tahun kepada Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pegawai Daerah Brunei dan Muara; Yang Mulia Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait; Yang Mulia Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, Pegawai Daerah Tutong dan Yang Mulia Awang Abdul Ghani bin Haji Othman, Pemangku Pegawai Daerah Temburong.

Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di daerah-daerah lain diadakan sejurus selepas Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73 Tahun di Bandar Seri Begawan. Tetamu Kehormat di Daerah Brunei dan Muara ialah Yang Mulia Brigadier General (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan; di Daerah Belait ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan selaku Tetamu Kehormat di Daerah Tutong dan Yang Mulia Awang Haji Zolkiflee bin Haji Abdul Karim, Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia), Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian di Daerah Temburong. Seterusnya Tetamu-Tetamu Kehormat di daerah-daerah berkenaan menyerahkan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Penghulu-Penghulu Mukim daerah masing-masing.

Dengan berkibarnya Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini menandakan bermulanya untuk mengibarkan bendera di seluruh negara.  Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini akan secara berterusan berkibar megah di Pusat Bandar Seri Begawan sehingga 31 Julai 2019. Mulai 1 hingga 31 Julai 2019 bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran dikehendaki menaikkan dan mengibarkan Bendera Peribadi masing-masing. Sementara itu, orang ramai hendaklah menaikkan dan mengibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam.

Created at 02/07/2019 14:31 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 02/07/2019 14:31 by Kartini Binti Yakub