Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

LAWATAN KERJA KE AKTIVITI PEREKONOMIAN 1K1P DI DAERAH TEMBURONG

WhatsApp Image 2019-04-20 at 3.26.47 PM.jpeg

TEMBURONG, 20 April – Siri lawatan kerja Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke daerah-daerah diteruskan lagi ke Daerah Temburong hari ini. Program lawatan kerja hari ini tertumpu kepada aktiviti perekonomian Satu Kampung Satu Produk yang dikendalikan oleh beberapa buah Majlis-Majlis Perundingan Kampung (MPK) khususnya MPK Rataie, MPK Puni, dan MPK Tanjong Bungar.

Sesi Dialog Yang Berhormat Pehin Bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa MPK Menengah, MPK Batu Apoi serta MPK Belais dan Buda-Buda telah diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar. Tujuan utama sesi dialog dengan Majlis-Majlis Perundingan Kampung adalah untuk bertukar-tukar pandangan dan idea, berinteraksi serta mendengar apa jua permasalahan dan kemusykilan anak-anak buah kampung dalam usaha bersama-sama menggerakaktifkan dan mengembangmajukan Majlis-Majlis Perundingan Kampung di Daerah Temburong supaya ianya akan dapat berfungsi dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan, kebajikan dan kemakmuran masyarakat setempat.

(Sila rujuk teks ucapan/audio recording untuk maklumat lanjut) Ucapan Yang Berhomat Pehin menyentuh mengenai Institusi Penghulu Mukim dan Kampung 2. Satu Produk Satu Kampung 3. Anugerah Kampung Cemerlang dan 4. Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung.

Lawatan Yang Berhormat Pehin serta rombongan bermula ke MPK Rataie di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok. Pemangku Ketua Kampong Rataie, Awang Haji Muslim bin Haji Salleh mengalu-alukan ketibaan rombongan kementerian. Rombongan kemudian mendengarkan taklimat ringkas mengenai perkembangan produk-produk 1K1P MPK Rataie dan seterusnya menyaksikan demonstrasi masakan serta pameran dan jualan bagi produk Kerepek Ubi Kentang Madu, Biskut Beranika dan Makanan Tradisi yang diusahakan oleh MPK tersebut. 1K1P MPK Rataie diusahakan oleh biro-biro wanitanya yang terdiri dari ibu-ibu tunggal, balu-balu, dan suri rumah tangga sejak tahun 2009. MPK Rataie juga bergiat aktif dalam memasarkan produk mereka dengan mengikuti ekspo di dalam dan di luar negara iaitu di Republik Rakyat China. 

Di sebelah petang, Yang Berhormat Pehin serta rombongan membuat lawatan aktiviti perekonomian MPK Puni iaitu penghasilan telur masin dan makanan bertempat di Balairaya Kampong Puni. Rombongan dialu-alukan oleh Penghulu Mukim Bangar yang juga Pemangku Ketua Kampong Puni iaitu Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Merusin. Beliau telah memberikan taklimat ringkas mengenai produk perekonomian yang diusahakan oleh ahli-ahli MPK Puni. Rombongan juga menyaksikan demonstrasi pemprosesan telur itik masin, pameran dan jualan telur itik serta makanan tradisi yang diusahakan oleh Biro Wanita MPK Puni. MPK Puni telah berjaya menghasilkan telur masin yang bukan saja dibekalkan di Daerah Temburong, malahan telah dijual di luar daerah dan menerima tempahan dari orang ramai.

Mengimbas kembali pada 30 Oktober 2009, acara melepaskan 300 ekor itik ke dalam kolam ternakan oleh MPK Puni telah diadakan di Ladang Itik Kampong Puni. Dari usaha penternakan itik ini maka terhasillah perusahaan telor masin yang merupakan Projek Perekonomian Kampong Puni sebagai perlaksanaan Satu Kampung Satu Produk di Daerah Temburong.

Lawatan diteruskan ke Rumah Panjang Kampong Tanjong Bungar untuk melihat produk anyaman dan kraftangan yang dibuat oleh MPK Tanjong Bungar. Rombongan dialu-alukan oleh Awang Gromical anak Minggan, Pemangku Ketua Kampong Tanjong Bungar. Rumah panjang ini dibina pada tahun 1979 dan merupakan antara rumah panjang yang mula-mula dibina di Daerah Temburong. Rumah Panjang Kampong Tanjong Bungar seringkali menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara dan juga menyediakan pakej bagi pengunjung yang berhasrat untuk menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian Ngajat iaitu tarian tradisi masyarakat Iban termasuklah menyaksikan pameran hasil kraftangan para penduduk kampung.

Rombongan juga mengadakan lawatan ke Tapak industri Getah Labu Estet. Ketua Kampung Labu Estet, Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir mengalu-alukan ketibaan rombongan. Tapak ini berpotensi untuk diusahakan oleh MPK untuk dijadikan tempat pelancongan.

Yang Berhormat Pehin serta rombongan seterusnya membuat lawatan ke Ya Nur Trading Company Sdn Bhd di Kampong Batu Apoi. Pada tahun 2018, Ya Nur Trading Company telah memulakan operasi dan mengurus perniagaan di kompleks Batu Apoi dengan membuka sebuah pasar raya. Projek ini merupakan Projek Printis Ya Nur bagi program inkubasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Daerah Temburong. ( di sini Melihat IK1P yg d simpan di kedai ya nur) 

Beberapa MPK di Daerah Temburong ini telah berjaya menghasilkan produk-produk kampung seperti kerepek, telor masin, anyaman, kraftangan dan aktiviti pelancongan. Ini membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka dalam melaksanakan projek-projek dan rancangan strategik Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri khususnya penghasilan Satu Kampung Satu Produk ke arah menjana perkembangan sosio-ekonomi termasuk peluang pekerjaan kepada anak-anak buah kampung. Adalah diharapkan kampung-kampung berkenaan akan terus menghasilkan pelbagai produk tempatan dari segi kualiti dan kuantiti yang dapat dijadikan sebagai identiti kampung dan melalui penglibatan aktif, kerjasama dan sokongan padu dari penduduk kampung dalam aktiviti perekonomian akan dapat mempromosikan Daerah Temburong sebagai destinasi pelancongan di negara ini.

Lawatan kerja Yang Berhormat Pehin adalah sebagai penggalak kepada penduduk kampung untuk menggerakaktifkan dan meningkatkan aktiviti-aktiviti dan program-program yang boleh memberi semangat perpaduan dan menggalakkan mereka terutama belia-belia untuk melibatkan diri secara lebih aktif di dalam Majlis Perudingan Mukim dan Kampung terutamanya dalam memperkembangkan lagi Satu Kampung Satu Produk (1K1P). Siri lawatan kerja Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri akan diteruskan ke Daerah Tutong and Daerah Brunei dan Muara.

Menyertai rombongan lawatan kerja ini ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, Penghulu Mukim Bokok; Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah); Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah); Pemangku Pegawai Daerah Temburong; Penolong Pegawai Daerah Temburong; Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Pegawai-Pegawai Jabatan Daerah Temburong. 

Juga mengikuti rombongan ialah pemilik Syarikat Seri Nova Food Industries untuk melihat dengan lebih dekat lagi Produk-produk 1K1P dan seterusnya menggalakkan pengusaha-pengusaha 1K1P untuk menjual dan mempromosikan Produk-produk mereka di premis Perniagaan syarikat berkenaan. Syarikat ini membuka Perniagaan di Dewan Berlepas, Lapangan Terbang Lama Berakas dengan menjual Produk Produk 1K1P.



Created at 22/04/2019 09:01 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 22/04/2019 09:01 by Kartini Binti Yakub