Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI MELANCARAKAN KARNIVAL GERAI WAWASAN MUKIM LIANG

IMG_1222.JPG

KUALA BELAIT, Sabtu, 2 Februari 2019 Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan Karnival Gerai Wawasan Mukim Liang.

Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim Liang dan Majlis-Majlis Perundingan Kampung Sungai Liang, Kampung Lumut I, Kampung Lumut II dan Kampung Rancangan Perumahan Negara, Lumut dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait bertujuan untuk memeriahkan dan memajukan Gerai Wawasan Mukim Liang supaya ianya dapat dikenali ramai dan seterusnya akan dapat menjadi salah satu tarikan pelancong di daerah ini. Ianya juga bertujuan untuk mewujudkan perniagaan jangka panjang gerai tersebut dengan meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti perniagaan di gerai berkenaan yang diungkayahkan oleh Biro Peladang Majlis Perundingan Mukim (MPM) Liang.

Acara dimulakan dengan ucapan Pengerusi Majlis dan seterusnya perasmian Karnival Gerai Wawasan Mukim Liang 2019 oleh Yang Berhormat Menteri.

Yang Berhormat Menteri menyaksikan persembahan dari masyarakat di Mukim Liang seperti gulintangan dan silat dari Biro Belia dan Biro Kebudayaan Majlis Perundingan Mukim Liang dan persembahan kebudayaan dari puak Dusun, masyarakat Iban dan masyarakat Tiong Hua.

Di majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri bergambar ramai bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa dan seterusnya menyaksikan gerai pameran dan jualan serta gerai jualan Satu Kampung Satu Produk Daerah Belait.

Hadir sama pada sambutan tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pegawai-Pegawai Kanan, dan Ketua-Ketua Jabatan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung, serta Pegawai dan Kakitangan Jabatan Daerah Belait dan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim Liang.

Karnival Gerai Wawasan Mukim Liang ini telah bermula pada hari Jumaat, 1 Februari 2019 dan akan berakhir pada hari Ahad, 3 Februari 2019. Larian Wawasan 2019 sejauh 4 kilometer telah diadakan pada 1 Februari dan telah dilepaskan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait. Manakala pada sebelah malam hari Sabtu diadakan Pesta Mukun Gerai Wawasan 2019. Pada hari Ahad, 3 Februari diadakan Pesta Sukan Tradisi dan Tarik Kalat.

Created at 04/02/2019 12:20 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 04/02/2019 12:20 by Kartini Binti Yakub