Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

SESI TAKLIMAT SKIM PERKHIDMATAN PENGHULU MUKIM DAN KETUA KAMPUNG NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KEPADA LEPASAN GRADUAN

26012019SkimPenghuluKK.JPG

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 Januari 2019 – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri secara berterusan akan melaksanakan beberapa strategi di dalam usaha bagi pengisian kekosongan jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung seluruh negara termasuk pemberigaan melalui media massa dan jerayawara mengenai jawatan-jawatan, tugas dan tanggungjawab Penghulu Mukim dan Ketua Kampung dan pengiklanan kekosongan jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung.

Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) hadir dan seterusnya menyampaikan ucapan di Sesi Taklimat Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam kepada lepasan graduan yang telah diadakan di Dewan Auditorium, Job Center, Beribi, Gadong. Hadir sama di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah); Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pegawai Daerah Tutong, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan para lepasan-lepasan graduan.

Tujuan taklimat pada petang ini adalah untuk memberigakan Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung dan sekaligus menarik minat para lepasan-lepasan graduan bagi menceburi bidang pekerjaan sebagai Penghulu Mukim atau Ketua Kampung, selaku pemimpin akar umbi masyarakat dan sebagai perantara dua hala antara pihak Kerajaan dan masyarakat mukim dan kampung.

Melalui taklimat ini, para lepasan-lepasan graduan diberi pendedahan secara terperinci mengenai tatacara, proses, syarat-syarat kelayakan dan juga mengenai peranan serta tanggungjawab selaku Penghulu Mukim atau Ketua Kampung selaras dengan Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung.

Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam telah dikuatkuasakan pada 1 April 2015 dan dibuat perubahan pada tahun 2018 khususnya dengan menurunkan umur calon-calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampung dari 45 hingga 55 tahun kepada 30 hingga 55 tahun. Skim Perkhidmatan yang baru ini, dihasratkan akan memudahkan lagi Penghulu Mukim dan Ketua Kampung melaksanakan apa jua peranan, tugas dan tanggungjawab yang telah digariskan di dalam Skim Perkhidmatan tersebut dalam bentuk tindakan-tindakan yang lebih praktikal, bersistematik, efektif dan komprehensif dan akan dapat mencapai matlamat bagi mempertingkatkan dan memantapkan lagi martabat, kewibawaan serta kualiti kepimpinan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung. Di samping itu, penurunan syarat kelayakan umur ke 30 tahun akan memberi peluang para belia menceburi bidang pekerjaan sebagai Penghulu Mukim atau Ketua Kampung

Created at 28/01/2019 08:38 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 28/01/2019 08:39 by Kartini Binti Yakub