Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

Online Payment bagi Pembayaran Cukai Bangunan Dilancarkan

IMG_0423.JPG

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 Januari 2019 – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan-Jabatan Bandaran telah memperkenalkan satu inisiatif dalam memudahcara pembayaran cukai bangunan di kawasan-kawasan perbandaran. Inisiatif tersebut adalah menyediakan kemudahan pembayaran cukai bangunan secara atas talian (online) melalui mobile applications/ internet banking dengan kerjasama dengan dua institusi kewangan perbankan di negara ini iaitu Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) dan Baiduri Bank Berhad. Perkhidmatan ini adalah sebagai salah satu alternatif kepada pelanggan (pembayar cukai bangunan) untuk menjelaskan cukai bangunan selain daripada membuat pembayaran di kaunter-kaunter Jabatan Bandaran yang ada pada masa ini iaitu bayaran secara tunai, kad kredit dan cek. Perkhidmatan ini, satu lagi milestone bagi jabatan-jabatan bandaran iaitu Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dan Jabatan Bandaran Tutong selaku agensi-agensi kerajaan yang memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

Pembayaran cukai bangunan boleh dibuat secara online menerusi laman sesawang www.bibd.com.bn dan www.baiduri.com.bn dan juga melalui mobile applications: BIBD Mobile App dan Baiduri Personal i-Banking Mobile Application.

Dengan adanya kemudahan ini, ianya akan dapat memperkesankan dan seterusnya meningkatkan kutipan hasil cukai bangunan serta mengurangkan tunggakan Jabatan-Jabatan Bandaran. Selain itu, perkhidmatan ini akan dapat memberi kemudahan kepada pembayar cukai bangunan untuk menjelaskan tuntutan cukai bangunan pada bila-bila masa dengan mudah dan cepat, tanpa perlu datang ke kaunter pembayaran di Jabatan-Jabatan Bandaran di Bandar Seri Begawan, Kuala Belait dan Seria dan Tutong.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan majlis pembayaran cukai bangunan secara online yang telah diadakan di Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jalan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan. Hadir sama di majlis tersebut ialah Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah); Yang Mulia Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang); Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah); dan Yang Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin, Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang).

Majlis ini juga dihadiri oleh Jemputan Khas yang terdiri dari Pengarah Eksekutif Urusan BIBD, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri; ketua-ketua Jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan-Jabatan Bandaran, pegawai-pegawai kanan dari BIBD dan Baiduri Bank Berhad  serta beberapa orang pelanggan yang memiliki hartanah di dalam kawasan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria dan Lembaga Bandaran Tutong.

Majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai dan diikuti dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat. Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri melancarkan majlis dan menyaksikan pembayaran cukai bangunan secara online oleh beberapa orang pelanggan yang memiliki hartanah di dalam kawasan Jabatan-Jabatan Bandaran.

Created at 22/01/2019 16:00 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 22/01/2019 16:07 by Kartini Binti Yakub