Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

15 September 2018 - LAWATAN KERJA YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI KE DAERAH TEMBURONG

DSC_1842.JPG

1.       TEMBURONG, SABTU, 15 SEPTEMBER 2018 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.)  Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri hari ini mengadakan lawatan kerja ke beberapa Mukim dan Kampong di Daerah Temburong. 

 2.       Tujuan lawatan kerja ini antara lain bagi meninjau dan melihat secara dekat mengenai perkembangan dan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan di Daerah Temburong khususnya dalam menaikkan lagi perekonomian Satu Kampung Satu Produk (1K1P). Lawatan kerja ini akan dapat menjalin silaturahim di antara Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Daerah Temburong dengan pimpinan di peringkat akar umbi.

3.       Yang Berhormat Menteri berserta rombongan memulakan lawatan ke Kedai Kampung Pekan Bangar dimana para rombongan menyaksikan produk-produk 1K1P yang ada di seluruh Daerah Temburong ini dikumpulkan dan menjadikan ianya satu pusat 1K1P di Daerah Temburong. 

4.       Seterusnya Yang Berhormat Menteri meneruskan lagi lawatan ke beberapa buah tempat untuk melihat secara lebih dekat lagi penghasilan beberapa produk 1K1P. Di Balairaya Kampong Menengah, Mukim Bangar, rombongan menyaksikan pembuatan Keripap Mini MPK Kampong Menengah. Manakala di Kampung Belais dan Buda-Buda, Mukim Bokok pula rombongan meninjau perkembangan Pondok Memancing dan Riadah, MPK Belais dan Buda-Buda. Rombongan seterusnya meninjau ke Rumah Panjang Semabat, Mukim Bokok untuk mendengarkan taklimat serta melihat pembuatan Kuih Jala, pameran kraftangan dan pembuatan pemarang. 

5.       Yang Berhormat Menteri seterusnya mengadakan satu sesi muzakarah bersama Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung bagi Daerah Temburong di Rumah Kediaman Rasmi, Pegawai Daerah Temburong. 

6.       Yang Berhormat Menteri di dalam sesi Muzakarah tersebut membincangkan dan menyeru Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung untuk sama-sama menarik para belia-belia di mukim-mukim dan kampong-kampung masing-masing untuk melibatkan diri secara lebih aktif didalam Majlis Perudingan Mukim dan Kampung terutamanya dalam memperkembangkan lagi Satu Kampung Satu Produk (1K1P). 

7.       Dalam pada itu Juga Yang Berhormat Menteri juga menyentuh mengenai dengan perkembangan terkini Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam. Yang Berhormat Menteri sukacita mengongsikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan limpah kurnia perkenan bagi perkara-perkara berikut:-

 

    1. Bagi tempoh perkhidmatan, seramai 169 orang Penghulu Mukim dan Ketua Kampung dilanjutkan selama 18 bulan (1 ½ tahun) dari tarikh lantikan pada 23 Disember 2017 iaitu perlanjutan selama enam (6) bulan dari perlanjutan awal satu (1) tahun.

       
    2. Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung untuk segeranya meneliti semula tatacara mempercepatkan proses dan prosedurnya bagi membolehkan kekosongan jawatan-jawatan berkenaan diisikan dalam tempoh waktu yang ditetapkan; dan

       
    3. Syarat umur bagi calon-calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampung diturunkan dari 45 hingga 55 tahun kepada 30 hingga 55 tahun dan bagi syarat ini digunakan bagi pengiklanan jawatan-jawatan ini pada ketika ini. Ini bertujuan untuk menarik pemimpin yang berpotensi dari kalangan belia-belia untuk memohon jawatan ketua kampong.

 

8.       Dengan adanya status terkini Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam ini, Kerjasama Ahli-Ahli Yang Berhormat, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung amatlah penting untuk mengadakan perbincangan melalui Majlis Perundingan Mukim dan Kampung bagi mengenalpasti Penduduk Mukim dan Kampung yang layak sebagai calon-calon yang berkualiti dan difikirkan bersesuaian bagi mengisi kekosongan jawatan Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung tersebut tertakluk kepada menepati syarat-syarat kelayakan.  

9.       Peranan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampong didalam hal ini adalah sangat diharapkan untuk membantu pihak Kerajaan bagi mendapatkan pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi yang akan menerajui kepimpinan di peringkat mukim dan kampung selaras dengan tujuan utama Skim ini diperkenalkan iaitu mempertingkatkan, memperkukuh dan memantapkan lagi kewibawaan, mutu atau kualiti kepimpinan serta keberkesanan Institusi Penghulu dan Ketua Kampung sebagai teras kepimpinan akar umbi dengan memupuk semangat kewarganegaraan yang baik dalam mendokong kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

10.   Dalam masa yang sama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan secara berterusan melaksanakan beberapa strategi termasuk pemberigaan melalui media-media masa, jerayawara mengenai jawatan-jawatan dan tugas dan tanggungjawab Penghulu Mukim dan Ketua Kampong, mengiklankan jawatan Penghulu dan Ketua Kampong bermula pada 1hb Oktober 2018 dan mengemaskini tatacara pemilihan dan pengundian calon.

 

11.   Sesi muzakarah diakhiri dengan menikmati jamuan tengahari dan seterusnya menunaikan Solat Fardhu Zuhur di Masjid Kampung Batu Apoi.

 

12.   Yang Berhormat Menteri beserta rombongan meneruskan lagi lawatan pada sebelah petang dengan  meninjau ke Kampung Senukoh, Mukim Labu yang mana memperlihatkan produk 1K1P yang cukup terkenal iaitu Mee Kuning MPK Senukoh. Kemudian rombongan mengakhiri lawatan dengan membuat tinjauan ke Kampong Batu Apoi, Mukim Batu Apoi untuk melihat Produk 1K1P iaitu pembuatan Ambolong MPK Batu Apoi.

 

13.   Dengan adanya lawatan kerja seperti ini dihasratkan akan memberi peluang kepada Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung serta Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung berinteraksi serta bertukar-tukar fikiran dengan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berserta rombongan mengenai pembangunan dan kesejahteraan penduduk di Daerah Temburong. Lawatan kerja ini juga diharapkan akan dapat mencetus semangat program 'Satu Kampung Satu Produk' dengan kerjasama dan sokongan padu dari penduduk kampung.

 

14.   Hadir sama dalam rombongan ialah Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Serta Pegawai-Pegawai Dari Jabatan Daerah Temburong.




Created at 02/10/2018 11:33 by Zulkarnain Bin Osman
Last modified at 03/10/2018 09:43 by Nusratina Binti Hj Md Daud