Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

6 OGOS 2018 - Acara Regata Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018.

WhatsApp Image 2018-08-07 at 09.09.58 (1).jpeg

Bandar Seri Begawan, Isnin 6 Ogos 2018– Satu sidang media bagi Acara Regata Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018 telah diadakan pada petang ini 24 Zulkaedah 1439 H bersamaan 6 Ogos 2018 M, di Dewan Serbaguna Tingkat 6 Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

WhatsApp Image 2018-08-07 at 09.09.58 (2).jpeg

Hadir bagi mempengerusikan sidang media tersebut ialah Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Selaku Pengerusi Bersama Ahli Jawatankuasa Regata Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018.

WhatsApp Image 2018-08-07 at 09.09.58.jpeg

Pengerusi bersama menerangkan Pada tahun ini acara lumba perahu dijadikan sebagai salah satu lagi siri acara diantara siri rancangan majlis atau acara-acara bagi memberi nilai tambah kepada suasana berlangsungnya Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018. Acara tersebut akan berlangsung pada hari Ahad, 30 Zulkaedah 1439 H bersamaan 12 Ogos 2018 M, Jam 9 pagi dan 1 Petang bertempat di Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan. 

Sebanyak 12 acara lumba perahu yang akan dipertandingkan di hari tersebut yang mana 6 perlumbaan akan ditandingkan di sebelah pagi dan 6 perlumbaan di sebelah petang. Diantara perlumbaan yang akan mengambil tempat ialah, Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh, Lumba Perahu Tradisi antara Kementerian-Kementerian 25 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass antara institusi-institusi dan Pengajian Tinggi 15 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass Belia-Belia 30 Tahun kebawah 15 Pekayuh dan 20 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass Maktab-Maktab dan Sekolah-Sekolah Menengah 15 Pekayuh dan beberapa perlumbaan yang lain lagi. 

Pada tahun ini beberapa pembaharuan telah dibuat bagi memeriahkan lagi acara. Diantara pembaharuan adalah seperti berikut:-

Litar yang akan digunakan bagi lumba perahu pada tahun ini adalah berbeza dari tahun yang sudah.

  • Bagi Lumba Perahu Seribu (1000) Meter ianya akan bermula dari Pusat Kesenian dan Kraftangan Brunei dan berakhir di hadapan Dermaga Diraja
  • Bagi Lumba Perahu Dua Ribu (2000) Meter pula akan bermula dari Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan berakhir di hadapan Dermaga Diraja
  • Manakala bagi Lumba Perahu Maraton iaitu Lima Ribu (5000) Meter pula akan bermula dari hujung Pulau Si Bongor dan berakhir di hadapan Dermaga Diraja.

  • Penglibatan daripada Maktab-Maktab dan Sekolah-Sekolah Menengah yang akan turut serta di dalam perlumbaan nanti.

     

Pengerusi Bersama Yang Mulia Awang Salminan juga mengongsikan, Pada tahun ini penyertaan para belia-belia turut ditampilkan ke dalam beberapa acara-acara. Selain daripada itu penyertaan daripada luar negeri juga dilibatkan. 3 pasukan dari Malaysia akan menyertai perlumbaan pada tahun ini, 2 pasukan dari Lawas, Sarawak dan 1 pasukan daripada Wilayah Persekutuan Labuan. Selain daripada itu 1 pasukan daripada Republik Rakyat China dan 1 Pasukan lagi dari Republik Indonesia.

Bagi mengingatkan keselamatan para pengunjung ke acara tersebut, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat juga menekankan isu-isu keselamatan. Antara lain beliau mengingatkan Orang ramai supaya mengambil langkah-langkah berhati-hati dan berwaspada khususnya kepada pengguna-pengguna perahu-perahu tambang. Orang ramai juga diingatkan untuk meminum air yang secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi. 

Sementara itu Pemangku Ketua Operasi Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Timbalan Penguasa Polis Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah juga memaklumkan bahawa tidak ada penutupan jalan akan dibuat. Jalan raya hanya akan dikawal selia oleh Pihak Polis iaitu sepanjang Jalan Mc Arthur berdekatan Dermaga Diraja. Para pengguna jalan raya adalah di nasihatkan untuk merancang perjalanan dan jika perlu, membuat laluan alternatif apabila hendak memasuki pusat bandar. Beliau juga mengingatkan kepada pengguna-pengguna jalan raya yang akan menyeberang menggunakan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk tidak berhenti di sepanjang laluan jambatan tersebut. Pihak JSKLL juga menyarankan kepada pemandu dan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya dan mengamalkan sikap bertolak ansur bagi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak. 

Juga hadir bagi menerangkan mengenai Aktiviti Bandarku Ceria pada hari ahad tersebut, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa tersebut juga ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa aktiviti di Bandarku Ceria pada hari tersebut adalah TERHAD. Aktiviti berbasikal di Kawasan Bandar hingga ke Pusing Keliling Jabatan Perdana Menteri ditiadakan bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke Pusat Bandar bagi maksud meramaikan Acara Regata itu nanti. walaubagaimanapun aktiviti berjaja juga adalah terhad. Aktiviti berjaja adalah dibenarkan di sepanjang Jalan Pemancha dan Jalan Pretty sahaja. Jalan-jalan di kawasan Bandar pada hari tersebut akan dibuka seperti biasa dan hanya beberapa batang jalan akan dikawal selia bagi kemudahan acara. 

Selain daripada itu juga, sebagai langkah-langkah keselamatan, adalah juga diingatkan kepada orang ramai khususnya pengguna-pengguna jalan raya dan pengguna-pengguna perahu-perahu tambang pada hari tersebut agar meningkatkan kewaspadaan keselamatan.  Adalah diharapkan kepada orang ramai untuk mematuhi peraturan-peraturan yang sedia ada khususnya bagi pengguna perahu-perahu tambang yang mana diperlukan untuk menggunakan jaket keselamatan. 

Didalam kita menikmati kemeriahan acara itu nanti, tidak lupa juga diingatkan kepada orang ramai agar sama-sama menjaga kebersihan khususnya di tepi-tepi jalan, taman-taman, sungai-sungai dan juga di tempat-tempat awam yang lainnya. Tong-tong sampah akan disediakan di kawasan-kawasan strategik di kawasan acara itu nanti bagi memudahkan orang ramai untuk menggunakannya dengan sebaiknya. Di seru juga kepada orang ramai agar sama-sama berganding bahu bagi memelihara kebersihan di bandar kita ini. Marilah sama-sama kita bertanggungjawab akan kebersihan negara kita dan sama-sama menjadikan Brunei Bersih dan Hijau.

Bagi memberigakan kepada orang ramai, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Mulia Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke acara tersebut dan menyeru kepada agensi-agensi pelancongan supaya membuat promosi mengenai acara ini secara meluas. Beliau juga menyeru kepada orang ramai khususnya rakyat dan penduduk di negara ini untuk bersama-sama hadir dan memeriahkan lagi acara itu nanti. Adalah juga diharapkan akan adanya pelancong-pelancong untuk sama-sama menikmati kemeriahan lumba perahu yang akan berlangsung ini nanti disamping melihat mercu tanda yang ada di negara ini khususnya di persekitaran Pusat Bandar di mana Regata Brunei Darussalam ini diadakan. 

Selain daripada Lumba Perahu di acara Regata Brunei Darussalam, Pameran juga akan diadakan pada hari terserbut di kawasan Dermaga Diraja. Pemangku Kurator Etnografi, Jabatan Muzium-Muzium, Awang Haji Bahrin bin Haji Bolhasan menerangkan Pameran tersebut bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai terutama sekali generasi muda dalam memahami budaya tradisi lumba perahu di negara ini. Selain itu juga pameran yang akan dibukakan kepada orang ramai selama 3 bulan ini diharap kan memupuk semangat kesukanan lumba perahu di kalangan belia-belia negara dan orang ramai supaya masyarakat akan cenderung kepada gaya hidup yang sehat. 

Sesi Sidang media diakhiri dengan sesi soal-jawab.  

Orang ramai adalah dialu-alukan hadir bagi menyaksikan Regata Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018. Dengan itu Ahli Jawatankuasa mengucapkan berbanyak terima kasih diatas sokongan orang ramai, seluruh lapisan masyarakat, rakyat dan penduduk di negara ini dan juga kerjasama yang diberikan bagi sama-sama menjayakan acara yang bersejarah dan penuh gemilang ini nanti.


Created at 07/08/2018 09:14 by Hj Mohd Nornasronsyah bin Hj Kamal Pasah
Last modified at 07/08/2018 09:14 by Hj Mohd Nornasronsyah bin Hj Kamal Pasah