Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

2 OGOS 2018 - MAJLIS KHATAM AL-QURAN 72 KALI KHATAM AHLI-AHLI MAJLIS PERUNDINGAN MUKIM DAN KAMPUNG DAN PENUNTUT-PENUNTUT SEKOLAH SELURUH NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN YANG KE 72 TAHUN

IMG_9535.JPG

ISTANA NURUL IMAN, Khamis 2 Ogos 2018 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran 72 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Penuntut-Penuntut Sekolah seluruh negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018 yang diadakan pada hari ini 20 Zulkaedah 1439 Hijrah bersamaan 2 Ogos 2018 Masehi bertempat di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman.

IMG_9538.JPG

Keberangkatan Baginda berdua dijunjung oleh Yang Amat Mulia Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Mulia Grand Chamberlain Selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Khatam Al-Quran 72 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Penuntut-Penuntut Sekolah Seluruh Negara Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018.

IMG_9540.JPG

Turut berangkat menyertai bacaan Al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran 72 Kali Khatam ini adalah Paduka Anaknda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusalam iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, serta cucunda-cucunda Baginda iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez bin Pengiran Anak Khairul Khalil dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah binti Pengiran Anak Khairul Khalil.

IMG_9545.JPG

IMG_9544.JPG

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Muhammad Azib Bin Muhammad Azim, Pelajar Skim Tilawah Remaja Al-Quran, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Tahun 9.

Majlis seterusnya diikuti dengan bacaan takhtim dan tahlil oleh pegawai dan guru-guru ugama Jabatan Pengajian Islam dan Jabatan Hal Ehwal Masjid. Manakala bacaan Doa Khatam juga dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Azib Bin Muhammad Azim.

Seterusnya Dikir Marhaban dipersembahkan oleh Pegawai Masjid dari Jabatan Hal Ehwal Masjid serta pegawai dan guru agama perempuan dari Jabatan Pengajian Islam. Bagi memohon keberkatan, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima junjung ziarah daripada peserta-peserta khatam Al-Quran lelaki, sementara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam menerima junjung ziarah daripada peserta-peserta khatam Al-Quran perempuan.

IMG_9549.JPG

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman juga berkenan menerima junjung ziarah dari peserta-peserta khatam Al-Quran tersebut.

Majlis Khatam Al Quran 72 Kali Khatam ini adalah bagi memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia dan sihat walafiat serta kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wata'ala. Disamping itu, Majlis ini diadakan bagi menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas limpah rahmat dan nikmatNya menjadikan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Majlis Khatam ini juga diadakan bagi mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dengan rakyatnya celik Al-Quran.

IMG_9554.JPG

Peserta-peserta bagi pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran adalah terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di keempat-empat daerah seluruh negara mengikut kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliwanis yang terpilih mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili daripada Sekolah-Sekolah Arab, Sekolah-Sekolah Ugama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta  penuntut-penuntut sekolah seluruh negara, maktab-maktab serta institusi-institusi pendidikan tinggi daripada Kementerian Pendidikan yang berjumlah keseluruhan 1,790 orang peserta.

Majlis tersebut merupakan acara kemuncak yang melihatkan keakraban rakyat di negara ini kepada Al-Quran Al-Karim dan begitu juga mesranya hubungan Raja dengan rakyat di Negara Brunei Darussalam. Majlis ini adalah juga bagi menyemai dan menyuburkan budaya membaca Al-Quran serta mengamalkan ajaran-ajarannya sebagai amalan harian untuk memohon keredhaan Allah Subhanahu Wataala. Selain pahala dan rahmat Allah yang diperolehi dari membaca Al-Quran, penyertaan di peringkat akar umbi dan orang ramai khususnya penuntut-penuntut sekolah adalah manifestasi ketaatan dan kesetiaan rakyat kepada Raja, agama dan negara.


Created at 06/08/2018 14:22 by Hj Mohd Nornasronsyah bin Hj Kamal Pasah
Last modified at 06/08/2018 14:22 by Hj Mohd Nornasronsyah bin Hj Kamal Pasah