Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

UPACARA PENGIBARAN BENDERA BESAR NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE-72 TAHUN BAGI TAHUN 2018

WhatsApp Image 2018-07-01 at 10.50.30.jpeg

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai 2018 – Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-72 Tahun didadakan pada hari Ahad, 17 Syawal 1439H bersamaan 01 Julai 2018M, bertempat di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di Upacara tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018.

Hadir sama di upacara tersebut, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kebangsaan, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Pihak Swasta dan para jemputan, orang ramai dan para pelancong juga tidak ketinggalan turut menyaksikan upacara tersebut.

Untuk mendapatkan keberkatan dan kesempurnaan upacara, majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Mudim Awang Haji Abdul Latif bin Haji Saman.

Seterusnya, pasukan seramai 72 orang Pembawa Bendera Besar Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada Anggota-Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penjara dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei. Kemudian Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Anggota-Anggota Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei. Setelah itu, penerimaan dan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang berukuran 3.7m x 7.3m disempurnakan oleh Tetamu Kehormat untuk seterusnya dinaikkan dan dikibarkan.

Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, "Allah Peliharakan Sultan" dinyanyikan oleh kumpulan koir gabungan dari Jabatan-Jabatan Kerajaan, Kumpulan Suara Seni dan juga Kumpulan Koir Sekolah Menengah Sayyidina Husain dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Tetamu Kehormat seterusnya menyempurnakan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran 1.8m x 1.2m dan Poster-Poster Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018 kepada Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Pegawai Daerah Tutong dan Penolong Pegawai Daerah Temburong.

Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam untuk daerah-daerah lain juga diadakan sejurus selepas Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam di Bandar Seri Begawan. Tetamu Kehormat di Daerah Brunei dan Muara ialah Yang Mulia Awang Mohammed Riza Bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), Jabatan Perdana Menteri; di Daerah Belait ialah Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Nor bin Haji Jeludin, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; di Daerah Tutong ialah Yang Mulia Dayang Norliah binti Haji Kula, Setiausaha Tetap (Prestasi), Kementerian Kewangan; dan di Daerah Temburong pula ialah Yang Mulia Awang Haji Marzuke Bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap (Teknikal dan Professional), Kementerian Pembangunan. Seterusnya Tetamu-Tetamu Kehormat di daerah-daerah berkenan menyerahkan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Penghulu-Penghulu Mukim daerah masing-masing.

Dengan berkibarnya Bendera Negara Brunei Darussalam ini menandakan bermulanya untuk mengibarkan bendera di seluruh negara. Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini akan secara berterusan berkibar megah di Pusat Bandar Seri Begawan sehingga 31 Julai 2018. Mulai 1 Julai 2018 hingga 31 Julai 2018 bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniaka gelaran hendaklah menaikkan dan mengibarkan Bendera Peribadi masing-masing. Manakala orang ramai hendaklah menaikkan dan mengibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam.

Penaikan dan Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di seluruh negara sepanjang Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018 diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam konteks kehidupan bernegara, berbangsa, berkerajaan, dan beraja. Ke arah ini, semua Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, semua Ahli Jawatankuasa dan pemimpin-pemimpin masyarakat, ketua-ketua keluarga dan pemimpin-pemimpin belia supaya akan dapat bersama-sama saling ingat-mengingati bagi memastikan perlaksanaan tanggungjawab setiap rakyat dan penduduk bagi pengibaran bendera Negara Brunei Darussalam pada tarikh yang telah ditetapkan termasuklah di bangunan-bangunan kerajaan, premis-premis perniagaan dan perusahaan serta rumah-rumah kediaman dan persendirian serta di sepanjang jalan-jalan utama yang strategik.

Selaku rakyat dan penduduk negara ini termasuk belia-belia dan remaja-remaja, menaikkan dan mengibarkan bendera Bendera Kebangsaan dengan sempurnanya adalah satu tanggungjawab. Ia juga satu peluang bagi menzahirkan cinta dan kasih, rasa tanggungjawab, komitmen serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan dan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Di samping itu ia juga satu manifestasi semangat patriotisme dan kenegaraan yang tinggi serta sokongan dan penyertaan kepada acara kenegaraan iaitu dalam sama-sama menghayati signifikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diraikan setiap tahun. 

Created at 02/07/2018 12:20 by Hj Mohd Nornasronsyah bin Hj Kamal Pasah
Last modified at 02/07/2018 12:20 by Hj Mohd Nornasronsyah bin Hj Kamal Pasah